Jika Umno berkeras secara solo, PAS sentiasa bersedia

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

SIK:
Pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya hanya merugikan Melayu selain turut memberi peluang parti lawan untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ‘yang menang menjadi abu, yang kalah menjadi arang’.

“Pertembungan antara MN (Muafakat Nasional) dan Perikatan Nasional (PN) hanya akan merugikan malah Pakatan Harapan (PH) akan memenangi kerusi tersebut.

- Advertisement -

“Sebanyak 27 kerusi parlimen dan banyak kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) telah kita kenal pasti untuk berunding bagi mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke 62 di Dewan Al-Hana, di sini hari ini.

Katanya, walau bagaimanapun, jika Umno masih berkeras untuk bergerak secara solo maka PAS sentiasa bersedia dalam apa jua situasi.

“Namun jika Umno berkeras mahu bergerak secara solo, kita terpaksa lawan tetapi terus terang saya kata kita akan rugi.

“Jadi tentulah mereka mahu kerusi seperti ini dibincangkan, contohnya kerusi di Parlimen Raub, Bentong kerana kerusi ini mempunyai majoriti pengundi Melayu,” katanya lagi.

Ujarnya, jika tidak boleh berpakat semua, jangan bertembung semua namun PAS sentiasa bersedia berhadapan dengan semua keadaan.

Antara lain katanya, PAS sehingga kini sentiasa membuka ruang perbincangan kepada Umno bagi mengutamakan penyatuan ummah.

“Muafakat Nasional masih ada, tidak ada pihak yang mahu bubar MN dan sehingga kini PAS tidak bubar dan saya yakin Umno pun tidak akan bubar MN.

“Kita perlu satu wadah untuk membicarakan soal kepentingan bersama orang Melayu Islam, jadi wadah yang ada sekarang ini ialah MN,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -