Kekalkan merdeka dengan teladani cara ulamak dahulu

- Advertisement -

ALOR SETAR: Cabaran Pemuda PAS dalam meneruskan perjuangan kemerdekaan mestilah meneladani para ulamak terdahulu yang menuntutnya demi memastikan Islam tertegak di bumi bertuah ini.

Perwakilan Pemuda PAS Melaka, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif berkata, para ulamak dahulu menghadapi penjajah untuk memastikan kemakmuran negara ini dengan hukum syarak.

Kerana katanya, para penjajah datang bukan sahaja kerana kuasa dan kekayaan, tetapi memenuhi agenda 3G yang turut meliputi tujuan agama di mana tuntutan kemerdekaan itu mesti diperjuangkan kini.

Jelasnya, agenda tersebut masih menjajah anak-anak muda kini hingga menyebabkan golongan itu sering bertindak mengikut hawa nafsu dan akal fikiran semata tanpa agama.

“Maka menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan syahadah dan kemerdekaan yang ada pada Tanah Melayu pada ketika ini,” ujarnya membahas Ucaptama Ketua Pemuda PAS pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.

Perwakilan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Zulfadli Zakariah juga mengungkap perkara sama apabila menyatakan tonggak kekuatan pahlawan dahulu.

Mereka itu jugalah katanya, pejuang kemerdekaan di mana perjuangan berteraskan akidah dan untuk anak cicit terus berpegang dengan akidah itu.

“Maka disebabkan perjuangan yang telah pun mereka korbankan, maka alhamdulillah, pada hari ini, kita dapat merasai nikmat Islam sehinggakan kita sama-sama dapat berkumpul pada hari ini,” ujarnya.

Para pejuang itu menurutnya, juga menggerakkan agenda ilmu di mana di samping menghunus keris, mereka adalah tenaga pengajar di surau masjid.

“Mereka juga mempunyai amalan-amalan yang tersendiri. Amalan itulah yang menjadi sumber kekuatan mereka untuk terus berjuang bagi mempertahankan Tanah Air tanpa ada rasa gentar terhadap musuh-musuh Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -