Kelantan lahir 3,000 hufaz isi erti kemerdekaan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Anak-anak muda sewajarnya memahami erti kemerdekaan sebenar kerana ia bukan hanya membebaskan negara dari belenggu penjajahan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, pembebasan diri daripada perkara yang buruk kepada melakukan perkara lebih baik perlu dimanfaat bagi mengisi erti kemerdekaan negara.

- Advertisement -

Katanya kerajaan negeri memanfaatkan peluang kemerdekaan dengan mengajak anak-anak mendampingi al Quran.

“Kita mempunyai lebih 3,000 guru al Quran, golongan hafiz dan hafizah sama ada dilahirkan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) atau Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

“Kita berusaha supaya mereka mendampingi al Quran kerana di dalamnya terdapat pelbagai khazanah ilmu yang belum diterokai dan sesuai sehingga hari kiamat,” katanya ketika merasmikan Malam Sejahtera Merdeka 2022 anjuran Urusetia Belia, Sukan dan NGO di Dataran Warisan malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu anggota Exco kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat. Pada program tersebut turut diadakan forum khas menampilkan Da’i Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus.

Menteri Besar juga berkata, zaman langit terbuka dengan berbagai penampilan media sosial dibimbangi anak muda akan terus leka.

Menurutnya, bagi mengelak anak muda leka dengan dunia tersebut program keilmuan perlu diadakan dari semasa ke semasa agar anak muda dapat mengisi ruang kemerdekaan dengan aktiviti lebih bermanfaat. – HARAKAHDAILY 31/8/2022

- Advertisement -