Terbuka Jepun: Pearly-Thinaah singkir beregu nombor dua dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah membuka kempen Terbuka Jepun 2022 dengan bergaya apabila menyingkirkan pasangan nombor dua dunia dari Korea Selatan, Lee Soo Hee-Shin Seung Chan, hari ini.

Pada perlawanan berlangsung di Maruzen Intec Arena, Osaka, Pearly-Thinaah, bagaimanapun, terpaksa berhempas pulas dalam perlawanan berlangsung selama satu jam apabila tewas set pertama 16-21, namun bangkit di set kedua dengan 21-14 sebelum memastikan kemenangan di set penentuan 21-18.

- Advertisement -

Kemenangan dilakar beregu nombor 11 dunia pada aksi pembukaan itu sekali gus menyaksikan mereka dijadual menentang sama ada wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim atau Ashwini Bhat K.-Shikha Gautam dari India di pusingan kedua.

Dalam pada itu, satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut mengikut jejak langkah sama, selepas mudah menundukkan beregu Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau, 21-17, 23-21.

Aksi melibatkan dua pasangan beregu campuran negara pula menyaksikan Cheng Tang Jie-Peck Yen Wei terpaksa akur di tangan Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei untuk mara ke pusingan kedua.

Pada perlawanan yang berlarutan sehingga set penentuan, Pang Ron-Ee Wei menempah slot ke pusingan seterusnya setelah mencatat kemenangan 23-21, 22-24 dan 21-17.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan satu lagi beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing selepas masing-masing terkandas di pusingan pertama.

Sze Fei-Nur Izzudin tewas kepada pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 17-21, 21-18, 19-21, manakala Anna-Mei Xing tumpas kepada gandingan China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting, 9-21, 14-21. – BERNAMA

- Advertisement -