Empat pusat latihan bola sepak akan dibuka di Terengganu

Foto daripada Facebook Avsports. official.
- Advertisement -

KUALA NERUS: Empat pusat latihan untuk mencungkil bakat baharu bola sepak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja akan dibuka di Terengganu secara berperingkat, bermula Oktober hingga Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AV Sports Management Muhammad Arif Ikmal Azmi berkata pusat yang akan menggunakan tenaga pengajar profesional, termasuk beberapa bekas pemain tempatan itu, akan dibuka di Kuala Ibai, Kuala Terengganu; Rhu Rendang, Marang; Batu Rakit, Kuala Nerus dan Dungun.

Katanya, ketika ini terdapat empat pusat latihan atau akademi seumpama itu Lembah Klang dengan kapasiti pelajar seramai 200 orang.

- Advertisement -

“Pihak kami turut menggunakan tenaga pengajar berpengalaman seperti bekas jurulatih kebangsaan Mohd Azraai Khor Abdullah untuk memberikan khidmat latihan terbaik.

“Kami memilih Terengganu sebagai destinasi seterusnya kerana menyedari banyak bakat bola sepak yang ada di sini dan perlu dicungkil untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan bola sepak antara pemain veteran kebangsaan dengan pemain veteran negeri di Stadium Gong Badak, di sini, baru-baru ini.

Dalam perlawanan yang menampilkan beberapa pemain veteran era 80-an dan 90-an termasuk Zulkifli Hamzah, K.Ravichandran, Rahim Mohamad, Dzulkifli Ali, Othman Mat Kiar serta Jeffri Wahid itu, pasukan veteran Terengganu menumpaskan veteran kebangsaan 2-0.

Muhammad Arif Ikmal berkata pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 80 pelajar di setiap pusat dengan yuran yang minima supaya semua pihak berpeluang untuk menyertai latihan.

“Kami tidak mahu membebankan golongan keluarga berpendapatan rendah yang berminat untuk mendapatkan latihan untuk anak mereka secara formal, kerana fokus kami adalah untuk melahirkan generasi pelapis yang berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Menurutnya pemain juga berpeluang untuk menyertai kejohanan bola sepak di luar negara sebagai pendedahan awal.

Selain itu, Muhammad Arif Ikmal berkata pihaknya juga sering menganjurkan klinik bola sepak bersama bekas pemain kebangsaan sebagai platform untuk generasi pelapis mempelajari selok-belok sukan itu dengan lebih berkesan. – BERNAMA

- Advertisement -