Hukum pemberi rasuah

- Advertisement -

Oleh NASRUDIN HASSAN

KITA
biasa didedahkan dengan hukuman yang dikenakan kepada penerima rasuah. Jarang-jarang sekali barulah kita dengar pemberi rasuah ditangkap dan dihukum.

Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.

- Advertisement -

Jika sabit kesalahan boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17 (a) iaitu menerima rasuah dengan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Boleh jadi sukar untuk buru dan hapuskan pemberi rasuah kerana rencana jenayah rasuah mereka sangat licik dan sadis.

Biasanya pemberi rasuah ini terdiri daripada pihak yang bertaraf jerung “besar” atau “kaya” serta “berpengaruh”. Justeru mereka sangat berkepentingan.

Sementara yang menerima rasuah pula kebiasaannya ialah pihak pelaksana (operasi) dan penguatkuasa. Mereka biasanya  dirasuah untuk melepaskan “laluan jerung” tersebut.

Akhirnya, penerima rasuah dari kalangan penguatkuasa, penjawat awam dan lainnya menjadi sasaran mudah pencegahan rasuah. Mereka segera ditangkap dan didakwa.

Ini diakui oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil bahawa statistik empat tahun kebelakangan sehingga Februari 2021 yang lalu, menunjukkan 46.9 peratus jumlah tangkapan adalah penjawat awam

Pemberi rasuah “mudah lolos” setelah mereka dengan begitu licik menyembunyikan jenayah mereka setelah memperdaya atau mengugut penerima rasuah agar rasuah itu tidak berkait atau melibatkan mereka.

Pihak berkuasa selayaknya turut mempunyai mekanisme yang lebih berkesan untuk memburu dan menghapuskan spesies pemberi rasuah di negara ini. – HARAKAHDAILY 27/8/2022

- Advertisement -