Ops Bonceng didik anak muda jauhi maksiat

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pejabat Agama Daerah Marang dan Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar (Skuad Amar) Marang atas usaha melaksanakan Ops Bonceng kelmarin.

Operasi yang turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyasarkan pasangan yang membonceng motosikal dan menaiki kereta tanpa sebarang ikatan sah, selain kesalahan jalan raya biasa.

Penguatkuasaan ini membuktikan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya sangat serius memelihara rakyat daripada terjerumus ke kancah tidak bermoral sesuai dengan slogan Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera.

Usaha ini sememangnya wajar dilakukan dengan lebih kerap supaya anak-anak muda merasa gerun dan terdidik untuk menjauhi perbuatan maksiat.

Apatah lagi operasi berkenaan bukan bertujuan untuk menghukum atau memalukan mana-mana pihak, sebaliknya mereka yang ditangkap akan diberikan nasihat khas sebelum dijatuhkan apa-apa hukuman.

Pihak DPPKM juga telah mendapat banyak maklum balas daripada pelbagai peringkat masyarakat yang rata-ratanya bersetuju dengan penguatkuasaan dan inisiatif terbabit.

Dalam operasi bersepadu bermula jam 8:30 hingga 11:30 malam di Kampung Rhu Renggeh tersebut, seramai 11 pasangan berusia 18 hingga 25 tahun ditahan.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (2001) Terengganu iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Pemuda PAS Kawasan Marang juga ingin mengajak seluruh anak muda untuk menjauhi apa-apa aktiviti yang boleh mendekatkan kita perbuatan terlarang.

Ibu bapa dan ahli keluarga dinasihat untuk memantau aktiviti anak-anak agar ia selari dengan syariah.

USTAZ YUSUF ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -