Oleh M FAQIH
SEJAK Mei lepas komentar Undi-18 muncul di akhbar Harakah. Harakah satu-satunya ‘surat berita’ yang berorientasikan politik masih bertahan sehingga sekarang.
Biarpun jualan edisi cetak tidak lagi membanggakan, namun masih mampu berbakti kepada nusa dan bangsa. Setidak-tidaknya pandangan oposisi tentang politik dihidangkan.
Pak Lebai pun tidak segan kelek Harakah. Tidak ditemui foto artis menjolok mata. Sedangkan foto seumpama itu menjadi tarikan di akhbar lain.
Jadi ramai bertanya mengapa Harakah masih ada hayatnya. Sedangkan banyak akhbar lain menemui usia hujung. Akhbar terbabit seumpama gergasi di eranya.
Tidak lain dan tidak bukan kerana ada unsur keberkatan. Teorinya hampir sama dengan kerajaan PAS Kelantan. Hasil mahsulnya tidak banyak, namun mampu bertahan sehingga melewati 32 tahun.
Kerana apa, juga ada kaitan dengan keberkatan. Namun, Harakah lahir lebih awal berbanding kerajaan PAS Kelantan 2.0. Akhbar berunsur Islamik itu muncul pada Mac 1987.
Lebih tiga tahun awal berbanding kemunculan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada Oktober 1990. Mungkinkah keberkatan itu juga ada noktahnya.
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bakal menghidang bermacam kejutan.
Segala kemungkinan boleh berlaku. Harakah yang dibiaskan sebagai media Perikatan Nasional (PN) sejak dua tahun lepas mungkin lebih diberi perhatian. Atau sebaliknya.
Begitu juga kerajaan PAS Kelantan. Usia yang hampir genap 32 tahun Oktober ini, tentunya memberi cabaran tidak sedikit.
Pengundi warga emas Melayu di selatan tanah air sudah membuktikan mereka masih sayangkan Umno. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor membuktikan hakikat itu.
Kita tidak boleh lagi mengharapkan pengundi di saluran 1 atau 2. Jiwa mereka kata orang Pantai Timur berkarat dacing.
Sekarang hanya hanya tinggal Undi18. Mereka boleh jadi penentu. Mengimbangi bapa dan nenek mereka yang masih bersisa jiwa Melayu lama.
Maka peluang yang berbaki sekarang Undi18 perlu mendekati politik. Mereka perlu terlibat secara langsung.
Kesedaran mahasiswa
Usaha itu juga digerak di peringkat kerajaan. Antaranya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). UniMAP merangka pelbagai program bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang demokrasi, pilihan raya dan senario politik negara.
Kata Naib Canselornya, Prof Zaliman, antara program yang dilaksanakan menubuh Sekretariat Undi18 (SU18).
SU18 berperanan merancang dan melaksana aktiviti kesedaran berkaitan Undi18. Sebelum ini UniMAP menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Akademi Pilihan Raya (APR).
“Sebanyak lapan program pendidikan pengundi telah dan bakal diadakan di UniMAP bagi menyokong inisiatif tersebut tahun ini.
“Selain itu Bengkel Persidangan Mahasiswa UniMAP, Seminar Kepimpinan Altruistik Undi18, Program Kembara Mahasiswa Perak dan Sembang Santai Undi18 Bersama Mahasiswa Anak Kelantan,” katanya.
UniMAP mengambil langkah ke hadapan. Ia bagi melahirkan siswa siswi yang prihatin terhadap sistem pemerintahan negara demokratik.
Melalui kesedaran itu tidak-tidaknya meninggalkan politik lama yang diwarisi datuk nenek mereka.
“Pakcik takut kalau tidak undi parti biru bimbang berlaku darurat di negara kita. Hendak makan pun susah macam zaman Jepun,” ungkapan yang sering kita dengar sebelum ini.
Ternyata telahan itu tidak berasas. Datuk nenek kita hanya bersandar persepsi. Sedangkan hakikat yang berlaku tidak begitu.
Rakyat masih boleh mencari rezeki ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Lebih-lebih lagi era Perikatan Nasional (PN).
Pelbagai pakej kerajaan diperkenal di era PN. Antaranya Pakej Prihatin, Pakej Penjana, Pakej Permai dan enam lagi pakej bantuan lain.
Ini bermakna biarpun bukan kerajaan biru mentadbir negara, kebajikan rakyat masih terbela. Kalau diambil petunjuk PRU14, BN jatuh kerana isu 1MDB.
Dan PRU15 sekali lagi pemimpin Umno berdepan isu penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS). Ia melibatkan wang rakyat sehingga RM9.6 bilion.
Ternyata isu LCS lebih dahsyat. Ia sangat disedari pemimpin Umno sehingga terpaksa memanggil mesyuarat tergempar secara tergesa-gesa semalam. Khabarnya ramai ketua bahagian tidak dapat hadir.
Agendanya tetap sama. Terus mendesak perdana menteri membubarkan parlimen. Ramai melihat ia ada kaitan dengan kedudukan genting ahli parlimen Pekan sekarang. Cerita dari mahkamah membuatkan parti berlambang dacing terus gelabah. – HARAKAHDAILY 23/8/2022