PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Perikanan Negeri Kelantan menggalakkan golongan belia menceburi sektor perikanan air tawar yang banyak membuka peluang ekonomi.
Timbalan Menteri ll MAFI, Datuk Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyeru demikian dalam Program Pemantapan MyKomuniti Perikanan (MyKP), myAgroprenuer Perikanan (myAP) dan Perasmian Anjung Perikanan Tok Ajam, di Kampung Jelor semalam.
Menurut beliau, pada tahun 2021, sebanyak 1.1 juta benih ikan pelbagai spesies dilepaskan di sepanjang perairan Kelantan.
“Hari ini kita lepaskan lagi 20,000 ekor benih ikan bernilai tinggi seperti baung dan lampam jawa ke Sungai Jelor, dengan harapan nelayan darat dapat menjana pendapatan secara konsisten,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh menjelaskan sokongan berfokus Kerajaan Malaysia bagi merealisasikan pembangunan keusahawanan perikanan negara pada masa hadapan dengan memperkenalkan Program myagropreneur Perikanan (myAp).
“Golongan muda belia digalakkan terlibat dalam sektor perikanan dan perlu berani meneroka pasaran sehingga ke peringkat global dengan memanfaatkan penggunaan jalur lebar dan kaedah pendigitalan bagi menambah pendapatan.
“Terdapat dua jenis bantuan yang ditawarkan kepada individu yang berkelayakan dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan dan berumur dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun iaitu melalui Geran Agropreneur Muda (GAM),” hurainya.
Tambahnya, setiap individu yang layak diberikan bantuan maksimum RM20,000 tanpa perlu dibayar balik oleh peserta.
“Satu lagi bantuan berbentuk pembiayaan dengan caj kewangan yang rendah ditawarkan bermula RM50,000 sehingga RM200,000 bagi setiap projek yang dipohon,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi,Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Perikanan Negeri, Nazri Ishak, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ahmad Adlee Yasin. – UPKN
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!