PH timbulkan banyak ketegangan, mesti dihalang berkuasa

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pakatan Harapan (PH) mesti dihalang daripada kembali berkuasa kerana pengalaman 22 bulan pentadbiran mereka telah menimbulkan banyak ketegangan dalam masyarakat majmuk negara ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, tiada cara lain menyekat koalisi itu secara demokratik melainkan formula seperti dinyatakan Presiden PAS iaitu dengan agenda perpaduan ummah.

Menurut beliau, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meletakkan penegasan betapa perkara itu mesti dipimpin parti Melayu-Islam di mana terbesar ketika ini ialah PAS, Umno dan BERSATU untuk merealisasikannya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan ADUN Gunung Semanggol mengulangi perkara itu selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kasih Suri Keluarga Malaysia di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini hari ini.

Tegasnya juga, dengan mengekalkan permuafakatan penyatuan itu sahaja yang membolehkan PAS, Umno dan BERSATU untuk bersama membentuk dan mempertahankan serta mempunyai hubungan baik dalam kerajaan.

“Setakat hari ini, kenyataan-kenyataan pemimpin Umno di seluruh negara termasuk di Perak seolahnya mereka nak bergerak solo. Jika mereka tetap hendak bergerak solo, kami PAS mungkin terpaksa teruskan dengan gerakan kita.

“Kita akan teruskan kerja-kerja dan menghadapi pilihan raya bersama dengan Perikatan Nasional iaitu bersama BERSATU dan GERAKAN. Kita PAS bersedia untuk sebarang situasi,” beritahu beliau.

Seramai 213 penerima mendapat tajaan Razman untuk membuka akaun i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membolehkan mereka menerima bantuan caruman tambahan RM480 dari Kerajaan Persekutuan.

Tajaan RM12,780 diserahkan kepada pihak KWSP itu menjadikan nilai sebanyak RM115,020 pula diperuntukkan kerajaan bagi para penerima yang terdiri daripada suri rumah tangga dalam DUN ini. – HARAKAHDAILY 21/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -