Bekalan minyak masak di Kedah mencukupi

Wan Romani membantu menjual minyak masak dengan harga empat pek RM10 sempena Program Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP di Dewan Al-Amin, Telok Bagan.
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH:
Bekalan minyak masak di Kedah sehingga ini mencukupi khususnya untuk keperluan pengguna, kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Wan Romani Wan Salim.

Beliau berkata, sejak 1 Januari sehingga kini lebih 600 pemantauan telah dilakukan oleh penguatkuasa untuk memastikan bekalan bahan keperluan itu mencukupi.

“Saya nasihatkan kepada pengguna agar membuat aduan kepada penguatkuasa sekiranya terdapat mana-mana premis yang meletakkan syarat pembelian minyak masak atas alasan bekalan tidak mencukupi.

- Advertisement -

“Saya tak mahu dengar alasan mana-mana premis kononnya bekalan tak cukup. Saya memberi jaminan bekalan minyak masak sehingga ini mencukupi di Kedah,” jelas beliau ketika ditemui pada majlis Jelajah Penggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, hari ini.

Mengenai sambutan Bulan Kemerdekaan di negeri itu, beliau menggalakkan rakyat Kedah mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

Katanya, walaupun Jalur Gemilang tidak dibekalkan kerajaan kepada semua penduduk tetapi perbuatan baik itu sebagai tanda kecintaan terhadap tanah air.

“Setakat ini majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Adun-Adun dan pegawai daerah untuk diagihkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 14 Ogos lalu,” tambahnya lagi.

Sempena kempen Jalur Gemilang yang bermula pada 30 Julai lalu, Wan Romani memberitahu akan diadakan pertandingan melibatkan tiga kategori iaitu pejabat kerajaan tercantik, premis swasta tercantik dan kampung tercantik.

Katanya, pemenang akan diumumkan pada hari kemuncak sambutan iaitu pada 31 Ogos dan hadiah-hadiah akan disampaikan oleh Tuanku Sultan Kedah.

Dalam masa yang sama beliau mengharapkan agar semua pihak merasa bertanggungjawab dan tidak mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang salah selain menukarkan yang koyak dengan bendera yang baharu. – HARAKAHDAILY 21/8/2022

Wan Romani membantu menjual minyak masak dengan harga istimewa empat pek RM10 sempena Program Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP di Dewan Al-Amin, Telok Bagan.

- Advertisement -