Sukan Perpaduan Islam: Mohd Juwaidi sumbang satu lagi emas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemanah negara Mohd Juwaidi Mazuki terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mengungguli acara compound individu lelaki di temasya Sukan Perpaduan Islam 2021 di Konya, Turkiye hari ini.

Pada aksi final itu, Mohd Juwaidi meraih pingat emas selepas menewaskan wakil Iran, Mohammadsaleh Palizban 148-137 untuk meraih pingat perak.

Pingat gangsa dimenangi pemanah tuan rumah Haney Emircan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah dua emas untuk kali ini, saya sasarkan acara individu bagi meraih kedudukan podium tapi bonus saya dapat (dua) emas. Saya sangat puas hati dan berbangga,” katanya menerusi video yang dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.

Semalam, Mohd Juwaidi yang bergandingan bersama Eugene Loh dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menumpaskan trio Indonesia, Deki Adika Hastian, Hendika Pratama Putra dan Prima Wisnu Wardhana, 229-228, untuk meraih emas acara compound berpasukan lelaki.

Edisi kelima temasya sukan itu yang membuka tirai secara rasmi pada 9 Ogos lepas dijadual berakhir hari ini. – BERNAMA

- Advertisement -