PN tawar pimpinan integriti hadapi PRU15

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Perikatan Nasional (PN) menawarkan kepimpinan berintegriti kepada rakyat sebagai pilihan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Bersatu Kelantan, Bahari Mohd Nor berkata, tawaran itu merupakan aspek penting yang diberi penekanan PN sejak dahulu sehingga sekarang.

“PN merupakan gabungan parti yang mengutamakan integriti dan ketelusan kerana kita akan bersama-sama rakyat membina negara untuk membolehkan mereka mendapat manfaatnya.

- Advertisement -

“Kita sepakat tolak pemimpin korupsi dan salah guna kuasa,” katanya pada program Bicara Siasah bertajuk ‘Penyatuan Ummah 2 tahun Penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui Facebook Legasi Tok Guru malam tadi.

Beliau juga berkata, biarpun Pakatan Harapan (PH) juga mengutamakan integriti, namun pakatan politik tersebut diselumbungi DAP yang jelas bersikap rasis.

Oleh itu beliau berharap rakyat membuat penilaian terhadap kejayaan kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sebelum ini.

Bahari juga berkata suasana politik tanah air sudah berubah sekarang yang memerlukan kerjasama gabungan parti teras Melayu Islam bagi mencapai kejayaan dalam pilihan raya.

Menurutnya juga desakan Umno supaya disegerakan PRU15 selepas mendapat kejayaan pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Johor dan Melaka dibimbangi tidak mampu diulangi pada PRU15. – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -