UniMAP anjur aktiviti kesedaran pelajar Undi18

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangka pelbagai program bagi memberikan pendedahan dan kefahaman kepada pelajar tentang sistem demokrasi, pilihan raya dan senario politik negara ini.

Naib Canselornya, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, antara program yang dilaksanakan sejak awal tahun menubuhkan Sekretariat Undi18 (SU18) UniMAP dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara (SRN) UniMAP.

Katanya, SU18 berperanan merancang dan melaksana aktiviti kesedaran berkaitan Undi18 yang dilaksanakan.

“Terbaharu Wacana Minda UniMAP Siri 4; Bicara Anak Muda Undi18 Bersama Pelajar Baharu Diploma bertujuan memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang pelaksanaan Undi18.

“Ia juga bagi melahirkan perasaan bertanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam meraikan demokrasi berperlembagaan di negara ini,” katanya di sini semalam.

- Advertisement -

Sebelum itu UniMAP turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Akademi Pilihan Raya (APR) dengan disaksikan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad.

Dalam majlis tersebut, UniMAP diwakili Dr Zaliman manakala APR diwakili Pengarahnya, Hasanul Isyraf Naim, manakala universiti awam lain diwakili Naib Canselor dan rektor masing-masing.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Program itu selaras dengan amanat Menteri Pengajian Tinggi yang mahu Institut Pendidikan Tinggi (IPT) memberi penekanan supaya dilaksanakan sesi libat urus bersama pelajar berkaitan Undi18.

Dr Zaliman juga berkata, sebanyak lapan program pendidikan pengundi yang telah dan bakal diadakan di UniMAP bagi menyokong inisiatif tersebut sepanjang tahun ini.

Tambah beliau, selain itu Bengkel Persidangan Mahasiswa UniMAP (Persima), Seminar Kepimpinan Altruistik Undi18, Program Kembara Mahasiswa Negeri Perak, dan Sembang Santai Undi18 Bersama Mahasiswa Anak Kelantan juga diadakan.

“Manakala bagi mahasiswa ambilan Ijazah Sarjana Muda pula bakal diadakan Oktober ini menerusi Wacana Minda UniMAP; Bicara Anak Muda Undi18 Bersama Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda.

“UniMAP sentiasa mengambil langkah proaktif bagi melahirkan siswa siswi yang prihatin terhadap sistem pemerintahan negara berdemokratik,” kata beliau.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata usaha MoU SPR dan KPT merupakan salah satu langkah terbaik bagi memupuk minat mahasiswa agar lebih cakna dengan perkembangan politik semasa di negara ini.

“Ia selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang membenarkan mahasiswa untuk terlibat dengan aktiviti politik di dalam dan di luar kampus.

“Universiti awam perlu bergerak lebih proaktif dalam memberi kesedaran kepada mahasiswa di kampus tentang kepentingan turun mengundi dan sebagainya.

“Ini kerana Undi18 bakal dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -