TG Abdul Hadi terima kunjungan Duta Besar Malaysia ke Iran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Malaysia ke Iran yang baharu dilantik, Khairi Omar,di pejabatnya hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan Khairi yang akan memikul tanggungjawab yang besar sebagai wakil negara, bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran.

- Advertisement -

Menerusi hantaran di Facebook, hari ini beliau berkata dalam pertemuan tersebut, mereka berbincang langkah-langkah yang akan diusahakan bagi memulihkan semula ekonomi negara pasca Covid-19 dan meningkatkan kerjasama dua hala, terutamanya dalam bidang teknologi pertanian, ekonomi dan komoditi.

“Saya mendoakan semoga beliau diberikan taufik oleh Allah dan dipermudahkan segala tugasannya dengan baik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Pada 12 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara, di Istana Negara termasuk Khairi.

Selain Khairi, mereka yang turut dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Lim Juay Jin, Duta Besar Malaysia ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah. – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -