Perkenal tokoh setempat berjuang pertahan tanah air

- Advertisement -

Oleh AHMAD LI

BEAUFORT:
Sambutan Bulan Kebangsaan merupakan masa terbaik untuk memulakan inisiatif bagi memperkenalkan tokoh-tokoh tempatan yang mana nama mereka diabadikan di jalan utama dan bangunan khususnya di daerah Beaufort.

Antara tokoh terkenal yang diabadi pada nama jalan termasuk Jalan Janang Gayuh, Jalan OKK Haji Asneh, Jalan Pak Musa, Jalan Tun Pengiran Raffae, Jalan Chung dan Jalan Datuk Haji Sulaiman.

Tokoh-tokoh terbabit pernah memberi sumbangan besar kepada masyarakat di Beaufort pada zaman kegemilangan mereka.

- Advertisement -

Mereka banyak berjasa kepada daerah Beaufort di mana sanggup berjuang dan berkorban tenaga dan nyawa bagi membangunkan masyarakat tempatan.

Beaufort juga terdapat tugu  memperingati Prebet Tom Starcevich yang diberi aungerah Victoria Cross di atas keberaniannya menentang penjajahan Jepun. Tugu tersebut dilengkapi sudut informasi yang menjelaskan sejarah ringkas tentang tokoh terbabit.

Ketua Dewan Pemuda PAS Beaufort Asrul Samat berkata, usaha memperingati tokoh-tokoh sejarah tersebut penting ketika rakyat Malaysia sedang meraikan sambutan kemerdekaan negara sekarang.

Katanya bulan Ogos dan September sinonim dengan sambutan Bulan Kebangsaan, iaitu meraikan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun.

“Sambutan bulan kebangsaan dengan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk memperingati jasa tokoh-tokoh sejarah dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutamanya anak muda.

“Selain mengenali tokoh-tokoh yang sering disebutkan dalam lipatan sejarah, masyarakat juga perlu  diperkenalkan dengan tokoh-tokoh setempat yang turut berjuang mempertahankan tanah air ketika era penjajahan,” ujarnya.

Asrul turut mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan sudut informasi berhampiran papan tanda jalan yang mengabadikan nama-nama tokoh tempatan di Beaufort. – HARAKAHDAILY 13/8/2022

- Advertisement -