Pelihara Setiu Wetlands demi generasi akan datang

Foto daripada Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

BANDAR PERMAISURI: Taman Negeri Setiu Wetlands di sini, yang amat kaya dengan khazanah paya laut, perlu dipelihara dan dilindungi dengan baik demi generasi akan datang.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kawasan itu juga dihuni oleh pelbagai spesies flora dan fauna yang memberikan pulangan baik kepada komuniti daripada aspek ekonomi kelangsungan hidup dan juga ekosistem.

“Kawasan Setiu Wetlands mempunyai nilai yang tinggi dan perlu dipelopori secara berkesan dan berterusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Setiu Wetlands 2022 di sini semalam.

Advertisement

Festival bermula 4 hingga 7 Ogos itu bertujuan meningkatkan kefahaman komuniti setempat mengenai keunikan persekitaran alam semula jadi tanah bencah yang mempunyai kepentingan penjagaan ekosistem dari segi sumber bekalan air, kawalan banjir, penghalang ribut, kawalan hakisan pantai, pemuliharaan biodiversiti serta ekopelancongan.

Dalam pada itu katanya, kawasan tanah bencah itu juga harus diperkasa dan dimartabatkan kerana ia selaras dengan keperluan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan ke arah memenuhi kriteria di peringkat Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Ahmad Samsuri berkata pihaknya berharap agar semua pihak sama ada di peringkat jabatan, agensi kerajaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti agar dapat bersama-sama dengan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu untuk memperkasa dan memartabatkan tanah bencah itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis yang mendapat kerjasama dan sokongan dana daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat mengenai inisiatif yang boleh diambil untuk memperkasakan taman negeri itu.

“Kita juga adakan perbincangan dengan pihak swasta seperti syarikat-syarikat mega dan yayasan-yayasan besar yang ada pelbagai dana untuk laksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Dalam masa terdekat ini, kita sudah capai persetujuan dengan satu entiti dari luar Terengganu, nak beri dana untuk melaksanakan projek di taman negeri ini yang akan bagi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat… Bila dah pasti dan tandatangan (perjanjian) kita akan maklumkan nanti (perincian projek),” katanya. – BERNAMA