MAHA 2022: ‘Castle Of Fruits’ tawar 11,111 produk jualan

Foto daripada Facebook Laman Sosial Rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

SERDANG: Castle Of Fruits menawarkan sebanyak 11,111 produk jualan meliputi buah-buahan, sayur-sayuran, florikultur dan input pertanian pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula semalam sehingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini. 

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata Castle Of Fruits yang membawa tema Istana Kenangan Perak itu melibatkan sebanyak 99 lot jualan dan penyertaan 82 usahawan. 

“Laman kami ini menawarkan kepelbagaian produk agromakanan secara terus kepada pengguna dan pada masa sama FAMA turut akan melaksanakan aktiviti promosi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan bagi meningkatkan penggunaan per kapita,” katanya kepada pemberita. 

Advertisement

Beliau berkata untuk edisi tahun ini Castle Of Fruits bakal mengetengahkan buah-buahan dari keluarga artocarpus seperti nangka, cempedak dan sukun sebagai ‘Fruits of Events’

“Kami juga akan memperkenalkan nangka sebagai superfood di Malaysia kerana banyak khasiatnya dan pelbagai produk berasaskan nangka juga semakin banyak di pasaran seperti kerepek nangka, menjadikan buah ini semakin mendapat permintaan di dalam dan luar negara.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan pelbagai produk hiliran berasaskan buah itu seperti tart nangka yang menggunakan resipi sejak 1916, nuget, kerepek dan burger nangka dan satu showcase pelbagai buah dari keluarga artocarpus juga akan diadakan,” katanya. 

Mohamad Mustahapa turut menjelaskan nangka dan cempedak mendapat permintaan tinggi di pasaran susulan peningkatan jumlah pengeluarannya pada tahun 2020 sebanyak 60,093 metrik tan berbanding 59,174 metrik tan pada 2019.

Menurutnya selain dari Castle Of Fruits, pada edisi tahun ini FAMA turut menampilkan Empayar Makanan, Agrotrade dan Food Truck Fiesta

Empayar makanan yang bertemakan Makanan Keluarga Malaysia bakal menyajikan menu popular dari seluruh negara bertujuan untuk mempromosikan kepelbagaian makanan dan minuman kepada pengunjung sekali gus dapat meningkatkan permintaan terhadap hasil pertanian tempatan melalui perkembangan positif dalam industri kulinari negara. 

Mohamad Mustahapa berkata sebanyak 63 lot jualan makanan disediakan dan menyaksikan sebanyak 679 menu makanan dijual. 

Selain itu, Agrotrade akan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana agromakanan tempatan untuk mendapatkan khidmat nasihat, rundingan, perkhidmatan dan bantuan daripada kerajaan bagi menceburi bidang pengeksportan. 

Agrotrade melibatkan empat seksyen utama iaitu International Trade Services, Export Ready Boulevard, Export Mini Hypermarket dan Business Centre,” katanya. – BERNAMA