15,000 sertai PM meriahkan Program Berjalan Teguh Bersama

Ismail Sabri bersama orang ramai yang hadir memeriahkan pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Putrajaya pada 30 Julai 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Seramai 15,000 orang peserta bersama ahli keluarga masing-masing telah menyertai program berjalan kaki secara santai sejauh 2.7 kilometer bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Acara dikenali sebagai Program Teguh Bersama itu yang dilancarkan Perdana Menteri di Dataran Putrajaya (Istana Kehakiman), di sini, pada hari ini adalah bersempena pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022. 

- Advertisement -

Majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Annuar  Musa, serta jemaah menteri lain. 

Pada tahun ini, tema dan logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 yang dipilih  adalah ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia. 

Ia merujuk kepada konsep masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. 

Majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang disempurnakan Ismail Sabri berlangsung dengan penuh meriah. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Didapati seawal jam 6 pagi lagi, orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya dengan penuh bersemangat, masing-masing berpakaian sukan dan majoritinya berwarna merah untuk memeriahkan lagi majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.

Sambutan pada kali ini telah diadakan secara meriah dengan berkonsepkan terbuka serta melibatkan penyertaan daripada Keluarga Malaysia melalui program Berjalan Teguh Bersama dan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM2022).

Pengunjung kanak-kanak terhibur dengan kemunculan maskot kesukaan mereka pada pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Program Berjalan Teguh Bersama yang diadakan ini adalah membawa mesej kebersamaan sejajar aspirasi Keluarga Malaysia dan semangat perpaduan. 

Selain itu juga, KKM2022 yang dilaksanakan Perdana Menteri adalah bagi menandakan bermulanya kembara ke negeri-negeri seluruh Malaysia.

KKM2022 berkonsepkan serahan baton iaitu Baton Jalur Gemilang yang menjelajah ke seluruh negara bermula dari Dataran Putra, Putrajaya dan melalui perjalanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan. 

Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 turut dimeriahkan dengan persembahan pancaragam jalanan. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Ia dijadualkan akan berakhir pada 31 Ogos 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur iaitu lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Konvoi ini melibatkan penyertaan kenderaan daripada Kementerian, Jabatan dan agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta kelab permotoran dari pelbagai latar belakang sebanyak 434 buah kenderaan dan seramai 530 orang peserta.

Sebanyak 27 buah kenderaan jenis pacuan empat roda (4X4) digunakan untuk misi ini, yang mana setiap kementerian diwakili seramai empat peserta konvoi pelbagai bangsa bagi sebuah kenderaan.

Justeru, setiap kenderaan juga akan dibekalkan pelekat Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 dan Jalur Gemilang untuk dihias pada kenderaan masing-masing. 

Orang ramai bersama keluarga masing-masing tidak ketingggalan hadir memeriahkan acara jalan kaki, Program Teguh Bersama yang diadakan bersempena pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Di samping itu juga, sebanyak 65  buah motor berkuasa tinggi BMW K16 yang akan menyertai konvoi ini. Bilangan 65 digunakan sebagai simbolik kepada 65 tahun sambutan Hari Kebangsaan.

Para peserta yang hadir ke majlis pelancaran ini turut dihiburkan dengan persembahan muzik Irama Gema Asal, Irama Borneo, artis jemputan serta Pameran Kenegaraan iaitu ‘Dasawarsa Kemerdekaan’, pancaragam sekolah, penampilan maskot-maskot kegemaran kanak-kanak seperti Upin Ipin, badut, pemberian belon kepada kanak-kanak dan lain-lain.

Sehubungan  itu, bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2022, seluruh Keluarga Malaysia diseru untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara dan menggelorakan semangat patriotisme. – HARAKAHDAILY 30/07/2022

- Advertisement -