Loji baharu beri manfaat 5,000 pengguna di Kuala Krai

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN|Foto RIZAL TAHIR

KUALA KRAI: Masalah bekalan air yang dihadapi pengguna di bandar Kuala Krai dan kawasan sekitarnya di atasi selepas Loji Rawatan Air (LRA) Tualang 2 beroperasi.

Projek itu mampu memenuhi permintaan bekalan air yang meliputi kira-kira 5,000 akaun pengguna. Pembinaan loji berkenaan dimulakan 27 Oktober 2017 melibatkan kos RM49 juta.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, peruntukan berkenaan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, bekalan air tersebut dimanfaatkan pengguna di Bandar Kuala Krai, Guchil, Sungai Durian, Taman Kuala Krai Height dan Kampung Sedek.

“Turut menerima manfaat pengguna di Kampung Tualang, Taman Kuala Krai dan Kampung Batu Lada serta kawasan perumahan baru dan kawasan projek rumah bantuan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan loji tersebut di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato’ Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Dato’ Sr Mohd Azami Mohd Nor.

Menteri Besar juga berkata, peruntukan disumbang KPLB turut digunakan bagi membina dua telaga jejari dengan kapasiti 10 juta liter sehari.

Turut dibina paip air mentah bergaris pusat 400 mm dan paip air terawat selain LRA Tualang 2.

“Sebelum ini penduduk di Bandar Kuala Krai dan kawasan berkenaan menerima air terawat dari LRA Tualang Lama dan LRA Pahi.

“Dengan beroperasinya LRA Tualang 2 margin simpanan bekalan air terawat di jajahan Kuala Krai mencecah 20 peratus,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

- Advertisement -