Wanita terkaya Asia hilang separuh kekayaan

Yang Huiyan pernah diumumkan sebagai bilionair termuda dakam sejarah negara China. (FOTO Newsnpr)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

BEIJING: Wanita terkaya di Asia, Yang Huiyan kehilangan lebih separuh daripada aset hartanya sepanjang tahun lalu apabila sektor hartanah China kini digegarkan oleh masalah aliran tunai.

Laporan Indeks Billionaires Bloomberg pada Khamis (28 Julai) menyatakan bahawa, sepanjang  tahun lalu, nilai bersih jumlah harta Huiyan yang merupakan pemegang saham China Country Garden, syarikat konglemerat hartanah yang berpangkalan di Guangdong, telah jatuh menjunam lebih daripada 52 peratus kepada AS$11.3 bilion (RM50.3 bilion) daripada AS$23.7 bilion.

- Advertisement -

Ia adalah susulan saham China Country Garden yang tersenarai di Hong Kong itu jatuh 15 peratus selepas syarikat itu mengumumkan ia akan menjual saham baharu untuk mendapatkan dana wang tunai, lapor AFP.

Wanita berusia 40 tahun itu mewarisi kekayaannya apabila bapanya, Yang Guoqiang,  pengasas China Country Garden  yang  telah memindahkan kesemua saham miliknya kepada anaknya pada 2005.

Yang menjadi wanita terkaya di Asia dua tahun kemudian susulan tawaran saham syarikat itu dibuka kepada orang awam  di Hong Kong.

Namun, beliau kini hampir tidak memegang lagi gelaran wanita terkaya di Asia, dengan taikun gentian kimia, Fan Hongwei, merapati kedudukan itu dengan nilai bersih kekayaan berjumlah AS$11.2 bilion diumumkan pada Khamis (28 Julai).

Terdahulu, pihak berkuasa China membanteras hutang yang berlebihan dalam sektor hartanah pada 2020, menyebabkan pemain utama seperti Evergrande dan Sunac bergelut untuk membuat pembayaran dan memaksa mereka untuk berunding semula dengan pemiutang ketika mereka berada di ambang muflis.

Pembeli di seluruh negara yang  berang dengan pembinaan yang lambat dan kelewatan penghantaran hartanah mereka, telah mula menahan bayaran gadai janji untuk rumah yang dijual sebelum siap.

Walaupun China Country Garden kekal tidak terjejas oleh kegawatan industri, ia membimbangkan pelabur dengan pengumuman pada Rabu (27 Julai) bahawa ia merancang untuk mengumpul lebih daripada AS$343 juta melalui penjualan saham, sebahagiannya untuk membayar hutang.

“Hasil daripada penjualan itu dikatakan  akan digunakan untuk ‘membiayai semula hutang luar pesisir sedia ada, modal kerja am dan tujuan pembangunan masa depan’,” ujar kenyataan China Country Garden dalam satu makluman kepada bursa saham Hong Kong.

Penganalisis telah memberi amaran bahawa industri itu terperangkap dalam ‘kitaran ganas’ yang akan melemahkan lagi keyakinan pengguna, berikutan pengeluaran angka pertumbuhan Q2 suram yang paling teruk sejak permulaan pandemik Covid-19

Sehubungan itu, pengawal selia perbankan China telah menggesa pemberi pinjaman untuk menyokong sektor hartanah dan memenuhi ‘keperluan pembiayaan munasabah’ firma kerana penganalisis dan penggubal dasar bimbang penularan kewangan.

Sektor hartanah dianggarkan menyumbang 18 hingga 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  dan merupakan pemacu utama pertumbuhan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

- Advertisement -