Tempoh 28 hari siasat kes SOSMA munasabah

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Lanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari adalah munasabah.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, berkata mustahil untuk pihak berkuasa melakukan siasatan dan menyelesaikan kes dalam tempoh 24 jam.

- Advertisement -

Katanya, apatah lagi, jenayah terancang dan pengganas semakin kompleks serta melibatkan rentas sempadan dan digital yang memerlukan penyiasatan berkualiti dan tempoh masa yang mencukupi.

“Bagi saya, tempoh 28 hari adalah munasabah, melebihi 14 hari dari kes jenayah biasa Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan 14 hari,” katanya semasa membahaskan usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) SOSMA, di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Dr Wan Martina, siasatan lengkap adalah penting untuk mengelakkan orang tidak bersalah dan tidak terlibat daripada dituduh dan dibicarakan.

Katanya, hasil siasatan lengkap juga perlu supaya pertuduhan dan bicara kes mempunyai bukti yang kukuh di pihak pendakwaan.

“Kita juga menyedari pelanjutan tempoh kuat kuasa juga perlu dan signifikan bagi siasatan kes-kes yang melibatkan aspek teknikal dan saintifik yang memerlukan masa dan ketelitian,” tambah beliau.

Tambahnya lagi, rakyat juga mungkin masih keliru serta menganggap SOSMA dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah sama apabila suspek tidak diberi peluang untuk menghubungi dan melantik peguam serta tidak dibicarakan di mahkamah.

Malah katanya, rakyat tertanya-tanya nasib yang menimpa tahanan sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, beliau meminta kerajaan memberi penjelesan atau jaminan sama ada tahanan SOSMA tidak didera atau diseksa sepanjang tempoh siasatan.

Beliau menjelaskan, kesalahan dalam Jadual Pertama SOSMA merupakan kesalahan besar yang melibatkan kesalahan keselamatan.

Katanya, jika subseksyen 4(5) SOSMA tidak dilanjutkan, pihak polis hanya boleh menggunakan subseksyen 4(4) iaitu tempoh siasatan selama 24 jam sahaja untuk menyiasat kes jenayah terancang, kes sindiket penyeludupan migran atau kumpulan gangster keganasan. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

- Advertisement -