YDN-FGV semai hubungan pelajar dan alam sekitar

- Advertisement -

PAGI semalam telah berlangsung pelancaran Program Eksplorasi Alam Lestari, antara program di bawah inisiatif Sekolahku SEJAHTERA: Cinta Alam yang bertempat di Zoo Negara, Kuala Lumpur.

Seramai 100 orang murid tahap dua dari sekolah rendah terlibat dalam program yang julung kali diadakan ini.

Program rintis anjuran bersama KPM menerusi Yayasan Didik Negara (YDN) dengan kerjasama FGV Holdings Berhad (FGV) ini antara lain bertujuan memupuk kesedaran serta kecintaan murid terhadap alam sekitar sejak di peringkat awal persekolahan. 

Generasi muda pada hari ini perlu diterapkan elemen Harmoni, iaitu satu daripada 14 elemen dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA.

Keharmonian tidak hanya terhad kepada hubungan manusia dengan manusia, malah nilai murni itu juga melibatkan hubungan manusia dengan alam.

Mereka yang disemai dan dijiwai dengan nilai cintakan alam ini pastinya tidak sanggup membiarkan kelestarian alam atau kebersihan persekitaran diganggu dan dicemari. Ini adalah demi mengekalkan kesejahteraan alam sekitar untuk generasi-generasi yang akan datang.

Selain Zoo Negara, Program Eksplorasi Alam Lestari ini juga akan diperluaskan ke lokasi lain di seluruh negara, termasuk pusat konservasi haiwan. Setakat ini sebanyak 10 lokasi telah dikenal pasti untuk penganjuran program seterusnya.

Diharap lebih banyak syarikat korporat dan swasta tampil untuk bersama-sama KPM menjayakan program ini sebagaimana yang dijayakan oleh FGV. 

Kerjasama strategik ini pastinya akan membolehkan lebih banyak program sebegini dianjurkan sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai anak-anak generasi pewaris negara untuk turut serta.

Terima kasih YDN dan FGV atas inisiatif yang amat baik ini. Kepada anak-anak yang terlibat, pak cik harap kongsikan ilmu dan pengalaman tadi kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan lain di sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik.

YB DATUK DR RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -