Kunjungan Joe Biden ke Timur Tengah: Wayang lama yang diulang

US President Joe Biden arrives at the King Abdulaziz International Airport in the Saudi coastal city of Jeddah, on July 15, 2022. - US President Joe Biden landed in Saudi Arabia, sealing a retreat from his campaign pledge to turn the kingdom into a "pariah" over its human rights record (Photo by MANDEL NGAN / AFP) (Photo by MANDEL NGAN/AFP via Getty Images)
- Advertisement -

KUNJUNGAN Presiden Amerika Syarikat Joe Biden ke Timur Tengah baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi tentang apa yang bakal berlaku terhadap senario politik di rantau yang paling banyak berlakunya pergolakan dan pertumpahan darah sejak sekian lama terutamanya ketika operasi ketenteraan Rusia di Ukraine sedang hebat berlangsung.

- Advertisement -

Sudah menjadi lumrah dalam politik Amerika Syarikat dikuasai oleh Zionis – Freemason, mana-mana calon presiden yang mahu memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat mestilah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada negara haram Israel jika mahu menang dan ia adalah rahsia terbuka yang sudah tidak menjadi rahsia.

Tidak ada mana-mana negara dalam dunia apabila akan diadakan pilihan raya, maka setiap calon atau parti yang bertanding akan dikhususkan agenda kempennya menyokong negara luar dengan menyebut nama negara tersebut iaitu Israel, melainkan Amerika Syarikat. Setiap sendi penting dalam pentadbiran Amerika Syarikat seperti ekonomi dan media massa dikuasi oleh Zionis – Freemason.

Dengan pilihanraya “midterm” Amerika Syarikat bakal berlangsung pada November tahun ini, sokongan terhadap Joe Biden berada di tahap paling rendah, kepercayaan rakyat Amerika Syarikat terhadap parti Demokrat berada pada tahap yang paling rapuh terutamanya selepas keputusan Mahkamah Agung berkenaan isu Roe vs Wade, kegagalan ekonomi yang teruk dan insiden tembakan rambang yang saban hari berlaku mengakibatkan banyak kematian, Joe Biden dan parti Demokrat harus melakukan sesuatu.

Tujuan utama lawatan Joe Biden kali ini ialah mewujudkan gabungan pertahanan ala NATO di Timur Tengah antara Arab Saudi, UAE, Mesir, Amerika Syarikat dan negara haram Israel bagi menangani ancaman Iran terhadap negara haram Israel. Selain daripada itu, ia juga sebenarnya adalah untuk meyakinkan pemimpin zionis bahawa pentadbiran Joe Biden akan terus mendokong negara haram Israel walau apa pun akibatnya.

Dalam ucapan pertamanya sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Joe Biden berkata beliau berbangga menjejakkan kaki ke negara merdeka Israel dan dengan bangga mengingati lawatan pertamanya ke negara haram tersebut pada 1973, beberapa minggu sebelum berlakunya peperangan Yom Kippur.

Beliau kemudian dengan bangganya berkata “Anda tidak perlu menjadi yahudi untuk menjadi seorang zionis” selain terus berjanji untuk terus berkerjasama mempertahankan negara haram Israel dengan persenjataan berteknologi tinggi dan “mengintergrasikan” negara haram Israel dengan negara-negara Timur Tengah.

Sebagaimana jangkaan ramai penganalisa geopolitik Timur Tengah terutamanya selepas Joe Biden menemui Presiden Palestin Mahmoud Abbas, segala janji-janji Amerika Syarikat terhadap Palestin dan warganya hanyalah helah dan palsu belaka walaupun “berbakul-bakul“ dijanjikan sebelum tiba di Timur Tengah terutamanya untuk menyiasat dan menghukum pembunuh Shireen Abu Akleh.

Tiada apa-apa yang baharu atau menunaikan apa yang dijanjikan selama ini untuk Palestin dan warganya walaupun solusi dua negara melainkan dengan teguh berjanji akan mempertahankan negara haram Israel dengan segala daya yang seumpama “mengkarung yang acapkali bertukar warna“.

Rakyat Palestin tetap terbunuh saban hari, tanah, harta benda dan kebebasan rakyat Palestin dirampas dan rakyat Palestin yang memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya semakin banyak diklasifikasikan sebagai pengganas. Jika ditanya kepada mana-mana rakyat Palestin, jawapannya mereka tidak mempercayai Amerika Syarikat dan Barat melainkan Dunia Islam yang termakan umpan keduniaan dan lalai mengingati janji-janji Allah SWT.

Kunjungan Joe Biden menemui Mahmoud Abbas dan ke Palestin sebenarnya tiada apa-apa makna kerana tujuan utamanya adalah ke Arab Saudi untuk memujuk Putera Mahkota Arab Saudi agar “mengepam dan mengeksport“ lebih banyak minyak mentah bagi menstabilkan harga pasaran minyak mentah dunia.

Mengapa? Ini adalah kerana sekatan ketat yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan Barat ke atas Rusia telah menyebabkan “backfire“ kepada mereka semula sehingga mengakibatkan kenaikan melampau harga minyak mentah di pasaran dunia, inflasi paling tinggi dalam tempoh 40 tahun, gangguan kronik “supply chain“ dunia dan peningkatan tinggi harga barangan keperluan asas yang memberikan tekanan hebat kepada warga negara Barat terutamanya Amerika Syarikat.

Kunjungan Joe Biden ke Arab Saudi menemui Putera Mahkota Arab Saudi Muhammed Bin Salman mendapat kecaman agak hebat di Amerika Syarikat. Ini berikutan kritikan hebat Joe Biden ke atas Muhammed Bin Salman ketika kempen pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada 2020 di mana Joe Biden menggelarkan Arab Saudi sebagai sebuah negara “Pariah“ berikutan tuduhan pembabitan Muhammed Bin Salman dalam pembunuhan Jamal Khashoggi di Turkiye.

Selain daripada itu, Amerika Syarikat mula “resah dan goyang“ apabila melihat Arab Saudi sudah tidak memperdulikan Amerika Syarikat dan Barat, malah dilihat condong dan rapat kepada Rusia dan China. Kemarahan penyokong parti Demokrat dan rakyat Amerika Syarikat terhadap Joe Biden makin membuak apabila Joe Biden tidak menunaikan janjinya untuk berhadapan dengan Muhammed Bin Salman bertanyakan tentang pembabitannya dalam pembunuhan Jamal Khashoggi.

Walaupun Joe Biden mengakui bertanyakan kepada Muhammed Bin Salman tetapi ia dinafikan oleh Adel Al Jubair, Menteri Negara bagi Hal Ejwal Luar Arab Saudi. Sidang kemuncak dengan pemimpin negara-negara Timur Tengah juga tidak membuahkan hasil kerana akhirnya Arab Saudi mahupun mana-mana negara pengeluar minyak utama Timur Tengah tidak berkata dan berjanji untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah untuk pasaran dunia.

Lawatan Joe Biden ke Asia Barat boleh dikatakan gagal dan tidak memberikan apa-apa makna kerana ia langsung tidak membawa manfaat kepada Amerika Syarikat melainkan pembukaan ruang udara Arab Saudi untuk pesawat komersial dari negara haram Israel. Tiada minyak mentah, tiada apa-apa untuk Palestin dan rakyatnya, Arab Saudi tidak menjauhi Rusia dan China malah pemimpin negara haram Israel juga kelihatan tidak yakin dengan Joe Biden.

Ura-ura untuk mewujudkan gabungan pertahanan ala NATO di Timur Tengah bagi memerangi Iran juga tidak kelihatan. Selepas itu majoriti media Barat melaporkan bahawa lawatan Joe Biden ke Timur Tengah gagal dan menerima kecaman rakyat Amerika Syarikat sendiri.

Rumusannya kunjungan Joe Biden ke Timur Tengah pada kali ini tidak ada perkara baharu melainkan mengukuhkan asas yang sudah tersedia iaitu untuk melindungi keselamatan ‘anak butirnya’ iaitu negara haram Israel kerana sebagaimana kata Joe Biden “Anda tidak perlu menjadi yahudi untuk menjadi seorang zionis“.

Semoga Allah SWT menyatukan saf Dunia Islam untuk mendepani cabaran-cabaran baharu terhadap umat dan Dunia Islam.

Islam Menyatukan Ummah

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Luar dan Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 23/7/2022

- Advertisement -