Anak belum tahu ibu meninggal dunia

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

PASIR PUTEH:
Keluarga mangsa kemalangan maut dihempap timbunan besi selepas sebuah treler terbalik di Jalan Kemunting, baru-baru ini turut diziarahi Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Baginda turut bertanya khabar mengenai keadaan Mohamad Shahrul Rizal yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) termasuk dua lagi keadaan anak arwah berusia 6 dan 11 tahun.

- Advertisement -

Keberangkatan baginda hari ini disambut Ketua Jajahan Pasir Puteh Ahmad Adlee Yasin, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Zulkifle Ab Rahman,

Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar mengenai kejadian itu, termasuk keadaan Shahrul Rizal.

Tengku Mahkota Kelantan, turut mengurniakan sumbangan zakat dan mendoakan agar mangsa terbabit sembuh dengan cepat.

“Sedih mendengar mengenai kemalangan ini…. Sama-sama doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman… Doakan agar cucu cepat sembuh,” titah baginda yang turut menyifatkan ia sebagai satu kemalangan ngeri.

Sementara itu anak mangsa belum dimaklumkan lagi berhubung kejadian yang menimpa ibunya, Yusni Abdul Hamid, 32.

Pada kejadian meragut nyawa Khamis lalu, anak sulung mangsa, Mohamad Shahrul Rizal Mohd Azizi, hilang kaki kanan dan kaki kirinya pula dilaporkan patah.

Datuk mangsa, Abdul Hamid Ali, 52, berkata, cucunya belum mengetahui bahawa ibunya sudah meninggal dunia.

Katanya, beliau tidak sanggup untuk memberitahu perkara sebenar kepada cucunya itu yang masih mendapat rawatan di HUSM Kubang Kerian.

“Pakcik tak sanggup nak bagi tahu yang ibu dia sudah tiada. Masa pakcik temankan di hospital dia selalu tanyakan ibunya tapi pakcik mengelak. Pakcik cerita perkara lain.

“Kami anak beranak sepakat tidak akan cerita pasal kematian ibunya. Keadaan belum mengizinkan lagi. Tunggu bila dia dah baik kami ceritalah. Dia masih lemah untuk tahu cerita sebenar,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pada hari kejadian, anaknya itu dalam perjalanan untuk membuat permohonan kad pengenalan Mohamad Shahrul Rizal.

“Kad pengenalan perlu dibuat segera kerana arwah sepatutnya perlu kembali bekerja di Pulau Pinang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2022

- Advertisement -