Tiada kompromi kepada pencetus provokasi, hina agama

- Advertisement -

HATI siapa yang tidak remuk apabila melihat Rasulullah S.A.W dicerca dan nama Tuhan dihina sedemikian rupa. Apatah lagi, ucapan biadap sebegini dilakukan oleh orang Islam sendiri. 

Tindakan ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, mencetuskan provokasi dan kemarahan, malah boleh meruntuhkan asas perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang pembinaan negara selama ini.

Islam sendiri sebuah agama yang amat tegas dalam menolak sikap ekstremisme dan melampau dalam agama. Bahkan Islam turut melarang umatnya sendiri untuk menghina agama lain, apatah lagi agama sendiri. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” 

[al-An‘am: 108]

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan atau tindakan menghina agama, yang mampu mencetus provokasi dan permusuhan di kalangan masyarakat. Sebarang tindakan menghina agama akan diambil tindakan tegas, dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi sebarang perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama, dengan hukuman penjara maksimum selama lima tahun jika sabit kesalahan. 

Begitu juga Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan bagi perlakuan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, dengan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun, nasihat saya kepada orang awam, janganlah sekali-kali bertindak di luar batasan undang-undang dalam perkara ini. Sekalipun kita sayangkan agama kita, jangan mengambil tindakan sendiri. 

Serahkan tindakan biadap ini kepada pihak berkuasa dan mengikut lunas undang-undang yang ada. Sebarang tindakan provokasi dan melakukan kecederaan kepada mana-mana pihak juga adalah suatu kesalahan jenayah, dan boleh didakwa di bawah Seksyen 321 Kanun Keseksaan.

Saya menyeru rakyat Malaysia seluruhnya agar menjadi rakyat yang lebih bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian beragama dan menghormati Islam sebagai agama bagi persekutuan. Hentikan perbuatan menghina agama baik agama Islam atau agama lain demi keharmonian negara, atau anda akan berhadapan tindakan undang-undang. Pihak berkuasa sama ada pihak Polis mahupun Penguatkuasa Agama akan mencari anda sehingga ke lubang cacing.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -