RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 diluluskan

- Advertisement -

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas pada semalam. RUU tersebut telah dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 adalah bagi meminda Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] buat kali yang kedua selepas 29 tahun iaitu setelah pindaan kali pertama pada tahun 1993. Pindaan RUU kali ini bertujuan menambah baik dan memantapkan pengurusan kawasan-kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan penguatkuasaan hutan.

Rang Undang-undang ini mengandungi 62 Fasal dan melibatkan 44 pindaan seksyen termasuk dua jadual, penambahan 12 seksyen baharu, penggantian lima seksyen dan pemotongan satu seksyen sedia ada. Pindaan yang dilaksanakan ini adalah bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negara bergerak seiring dengan perkembangan semasa yang mencakupi aspek-aspek pencegahan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran, menambah baik dan memperkasakan pengurusan kawasan-kawasan HSK serta pembangunan sektor perhutanan negara.

Antara pindaan utama yang terdapat dalam RUU tersebut adalah:

(i) memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian serentak HSK dengan memperkenalkan keperluan siasatan awam (public inquiry) sebelum kawasan HSK diwarta keluar melalui Seksyen 11. HSK yang diwarta keluar perlu diganti serentak dengan suatu kawasan tanah yang sama luas atau lebih besar melalui Seksyen 12;

(ii) memantapkan penguatkuasaan hutan melalui pewujudan seksyen-seksyen baharu seperti Seksyen 3A di mana Pegawai Perhutanan Persekutuan boleh diberikan kuasa secara bertulis oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk membantu PBN dalam menjalankan kuasa penguatkuasaan di lapangan. Selain itu, seksyen baharu 91A dan 96A pula memberi kuasa kepada pegawai hutan untuk membuat pemeriksaan ke atas orang yang disyaki dan mengadakan sekatan jalan ke atas pengangkut yang disyaki melakukan kesalahan hutan;

(iii) meningkatkan kadar denda dan hukuman ke atas kesalahan hutan melalui pindaan ke atas 21 seksyen. Pindaan kali ini melibatkan kenaikan kadar hukuman kesalahan hutan iaitu denda maksimum bermula RM20,000 hingga RM5 juta berbanding akta asal iaitu di antara RM10,000 hingga RM500,000. Selain itu, hukuman penjara maksimum dinaikkan kepada 7 tahun hingga 20 tahun. Melalui pindaan Seksyen 15, bentuk hukuman kesalahan dikategorikan mengikut kesalahan melibatkan hasil utama hutan; dan

(iv) mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas melalui pindaan Seksyen 75 bagi membolehkan pelucuthakan deposit sekiranya berlaku pelanggaran syarat lesen atau permit. Selain itu, Seksyen 75A diwujudkan bagi memberi kuasa kepada PBN untuk mengenakan dan menerima fi bagi perkhidmatan hutan.

KeTSA percaya dengan pengukuhan akta ini akan memantapkan lagi pengurusan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan penguatkuasaan hutan yang seterusnya akan meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam mengurus isu-isu berkaitan sosial, ekonomi dan alam sekitar.

YB DATO’ SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri Tenaga dan Sumber Asli – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -