Henti ‘blame game’, teruskan bantu mangsa

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Kedah (BPPNK) menyokong kenyataan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi supaya semua pihak menghentikan tindakan menuding jari pasca tragedi kepala air di perkampungan Iboi beberapa minggu lalu. 

Sememangnya perkara tersebut tidak menyelesaikan beban yang ditanggung oleh mangsa ketika ini. Walau bagaimanapun, sayugia untuk ditekankan bahawa aktiviti penanaman Musang King di Hutan Simpan Gunung Inas yang telah berbangkit sebelum ini telah pun dihentikan atas arahan Menteri Besar sejak Julai 2020. 

BPPNK yakin bahawa tindakan saling menyalahkan adalah permainan yang cuba dicetuskan pihak lawan walaupun ironinya ia ibarat meludah ke langit. Justeru, jawapan yang tuntas terhadap tragedi tersebut hanyalah berdasarkan laporan daripada pihak berwajib.

Apa yang lebih penting adalah tindakan Kerajaan Negeri dan Persekutuan susulan daripada laporan berkenaan bagi mengelakkan tragedi berulang. 

Ini adalah sebahagian daripada amalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang menjadi tunjang berpolitik PAS secara umumnya dan budaya tersebut cuba diterjemah oleh PAS Negeri Kedah melalui pentadbiran Kerajaan Negeri. 

Tambahan lagi, Kerajaan Negeri sendiri telah memulakan ‘exit plan’ kepada mangsa tragedi dengan pemberian bantuan sewa rumah dan utiliti bernilai RM3,000, bantuan kos rumah baharu bernilai RM57,000 selain menyediakan tapak pembinaan rumah baharu kepada semua mangsa. 

Selain itu, BPPNK turut ingin menyampaikan sekalung penghargaan kepada semua sukarelawan yang datang dari dalam dan luar Negeri Kedah bagi sama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa tragedi kepala air di perkampungan Iboi, Baling.

Bantuan dari seluruh negara telah digembleng sejak daripada malam tragedi berlaku khususnya melalui Khidmat Malaysia, Jabatan AMAL Malaysia serta pelbagai NGO yang terlibat. Pelbagai gerak kerja kemanusiaan telah dimulakan sejak hari pertama dan ia terus berlanjutan sehingga ke Hari Raya Aidiladha. 

BPNNK mendoakan agar Allah S.W.T merahmati usaha yang diperturunkan dalam bantuan kemanusiaan tersebut. Sekian, terima kasih.

YB DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -