Empangan Nenggiri: Penempatan lebih sempurna untuk Orang Asli

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penempatan baharu yang dilengkapi kemudahan lebih sempurna akan disediakan kepada penduduk Orang Asli yang terjejas akibat Projek Empangan Nenggiri di Gua Musang.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sebanyak 30 sesi libat urus telah diadakan kerajaan negeri bersama penduduk Orang Asli seperti di Pos Tohoi dan Pos Pulat.

- Advertisement -

“Faedah yang diperoleh mereka (Orang Asli) adalah ditempatkan di kawasan yang lebih baik dengan kemudahan awam diberi selain berpeluang mengusahakan penanaman getah di kawasan baharu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) mengenai faedah Projek Empangan Nenggiri kepada penduduk Orang Asli pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang itu berteraskan tiga matlamat utama iaitu sebagai penjanaan elektrik, tebatan banjir serta sumber air bersih selain bagi tujuan ekopelancongan.

Projek bernilai RM5 bilion itu dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 dan akan meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia sekali gus berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara. – BERNAMA

- Advertisement -