Banjir Baling: Skuad Musaádah sumbang RM1,443,750

- Advertisement -

BALING: Sebanyak RM1,443,750 telah disumbangkan Skuad Musaádah Keluarga Malaysia Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa banjir di sini.

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, hari ini Skuad Musaadah menyampaikan tambahan sumbangan dalam bentuk dapur memasak dan tong gas yang bernilai RM24,200 untuk diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

Katanya, pihak Masjid Putra, Putrajaya juga sudi memberikan sumbangan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM20,000 kepada mangsa yang terlibat.

Menurutnya, jumlah sumbangan yang diagihkan di sini adalah berjumlah RM44,200 yang akan diuruskan oleh pihak negeri.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Skuad Musaádah Keluarga Malaysia Agensi Di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa banjir di daerah Baling, hari ini.

Idris juga memaklumkan bahawa pagi tadi beliau telah berkesempatan bertemu dengan Menteri Besar, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menyerahkan cek cura daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang berjumlah RM1,300,000 untuk kegunaan membina semula tiga buah rumah termasuk perabot RM270,000, bantuan tunai RM672,000, bantuan membaiki dan memperindah semula Yayasan al-Khairiah (RM300,000) dan bantuan kepada masjid dan surau (RM58,000).

“Justeru jumlah keseluruhan bagi bantuan bagi musibah banjir yang berlaku di Baling adalah berjumlah RM1,443,750.

“YAB Menteri Besar bersama-sama kami agensi hal ehwal Islam Persekutuan akan memastikan peruntukan sampai kepada pihak-pihak tersebut dengan kadar segera,” ujarnya.

Beliau berharap semoga bantuan daripada agensi hal ehwal Islam itu serba sedikit dapat meringankan beban semua mangsa dalam menghadapi ujian berat itu.

“Dalam agama kita mengajarkan kita, apabila ditimpa musibah, kita seua perlu bersatu merenung memuhasabah diri dan sama-sama mencari hikmah yang terselindung di sebalik ujian ini,” katanya.

Menurutnya, ketika berlaku banjir lumpur baru-baru ini, beliau ketika itu berada di Makkah Al-Mukarramah, beberapa hari menunggu hari tarwiyah dan hari Arafah.

Katanya, pada 4 Julai, beliau telah WhatsApp kepada timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk dan Ketua Pengarah JAKIM untuk turun segera ke Baling membantu mangsa-mangsa.

“Alhamdulillah, pada 6 Julai, YB Ahmad Marzuk bersama JAKIM dan agensi seperti Yayasan Taqwa, MAIWP turun ke Baling membantu.

“Awal pagi Jumaat saya tiba di KLIA dari Makkah, Alhamdulillah hari ini saya bersyukur dapat bertemu mata dengan tuan-puan semua.

“Seronok dan bahagia sangat dapat bertemu dengan tuan-puan semua yang sentiasa berada dalam hati saya. Bila kejadian tempoh hari berlaku, kami berada di Makkah, perasaan itu macam-macam. Sedih, sebak dan dukacita dengan apa yang berlaku.

“Saya telah memohon semua jemaah haji kita untuk turut berdoa kepada sahabat-sahabat, para penduduk di Baling ini.

“Alhamdulillah dengan berkat kerjasama padu semua pihak, agensi Islam antara agensi terawal turun ke Baling. Agensi Islam akan berusaha turun di setiap kawasan yang ditimpa musibah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/7/2022

- Advertisement -