Perkembangan semasa krisis Syria

- Advertisement -

SYRIA menjadi medan pertembungan kuasa besar dunia dan proksi masing-masing yang mempunyai kepentingan dan agenda yang tersendiri. Amerika Syarikat mempunyai kepentingan untuk menjaga keselamatan negara haram Israel dan menguasai sumber minyak dan gas yang kaya di Syria.

- Advertisement -

Iran pula menyokong Basyar Al-Asad dengan matlamat untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria adalah satu-satunya negara di Asia Barat yang menjadi sekutunya dan jambatan antaranya dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menentang negara haram Israel.

Rusia juga menyokong regim Basyar Al-Assad, matlamatnya ialah untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal di Timur Tengah.

Setakat ini strategi Russia amat berjaya apabila diberikan keizinan untuk membuka pengkalan tentera lautnya yang dibina di Tortuz, Syria (satu-satunya pengkalan tentera laut Russia yang berada di laut lepas) dan telah mula mendapat kepercayaan dan akrab dengan negara-negara utama Asia Barat seperti Arab Saudi dan UAE.

Manakala Turki pula matlamatnya ialah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdis PKK dan YPG serta menyelesaikan isu jutaan pelarian Syria yang berada di Turki.

Pendirian Turki kerap berubah-ubah, peringkat awalnya Turki menyokong perjuangan untuk menjatuhkan Basyar Al-Assad yang selari dengan kehendak Amerika Syarikat dan negara haram Israel, namun lama kelamaan Turki menyedari permainan jahat Amerika Syarikat dan negara haram Israel yang menikamnya dari belakang dengan menyokong kumpulan militia Kurdis YPG.

Sejurus selepas itu, Turki mengambil sikap untuk berunding dengan Rusia yang mewakili Syria demi untuk menjaga kepentingannya.

Masa depan konflik Syria

Terdapat beberapa kemungkinan yang bakal berlaku ke atas Syria selepas Vladimir Putin mengadakan pertemuan dengan Ebrahim Raisi dan Recep Tayyip Edrogan terutamanya untuk membebaskan utara Syria di sempadan Syria – Turkiye di antara Manbij dan Hasaka yang majoritinya dikuasai militia Kurdis YPG termasuk Al Qaeda yang kedua-duanya di sokong Amerika Syarikat termasuk Bab Al Hawa yang dikuasai Al Qaeda.

Beberapa hari lalu Rusia menggunakan kuasa “veto“ dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB bagi membantah cadangan PBB untuk melanjutkan selama setahun lagi pembukaan laluan penghantaran “bantuan kemanusiaan“ di Bab Al Hawa yang terletak di sempadan Syria – Turkiye.

Tujuan utama Rusia menolak lanjutan tersebut adalah kerana ia digunakan sebagai transit bagi menyeludup masuk senjata untuk militia YPG dan Al Qaeda selain kemasukan sebenar bantuan kemanusiaan yang kebanyakkannya tidak sampai kepada majoriti rakyat Syria.

Selain daripada itu, Bab Al Hawa juga digunakan sebagai transit untuk menyeludup keluar minyak mentah Syria oleh militia YPG dan Al Qaeda dengan bantuan tentera Amerika Syarikat sebagaimana yang didedahkan oleh media antarabangsa baru – baru ini.

Penyeludupan keluar minyak mentah ini menjadi punca utama pendapatan kepada kumpulan-kumpulan militia ini untuk mengukuhkan kedudukan di sempadan Syria – Turkiye di mana kumpulan-kumpulan ini menjadi ancaman utama baik kepada Syria mahupun Turkiye.

Jika pertemuan antara ketiga-tiga pemimpin ini berjaya menyelesaikan masalah antara Turkiye dan Syria, berkemungkinan besar Turkiye akan membatalkan operasi ketenteraan yang dirancang yang akan dilakukan tidak lama lagi dan mungkin akan tertumpu untuk berkerjasama dengan Syria bagi menghapuskan kumpulan-kumpulan militia seperti Al Qaeda, YPG / PKK dan ISIS yang bertapak di utara sempadan kedua-dua negara ini.

Jika ini berjaya dilakukan, berkemungkinan besar Turkiye akan melaksanakan program penempatan semula pelarian Syria dalam skala besar untuk kembali semula ke Syria dengan kerjasama Syria. Ia adalah amat penting bagi Recep Tayyip Edrogan kerana ketika ini majoriti rakyat Turkiye telah mula menyuarakan bantahan besar-besar terhadap jumlah besar pelarian Syria yang berada di Turkiye yang mungkin akan “mencacatkan“ peluang Recep Tayyip Edrogan untuk menang besar dalam pilihanraya Presiden Turkiye yang akan berlangsung tahun hadapan.

Bagi Vladimir Putin pula, jika terhapusnya militia dan pengganas-pengganas di sempadan Syria – Turkiye, ia secara tidak langsung akan menghakis pengaruh Amerika Syarikat di kawasan tersebut di mana secara langsung ia akan terus melemahkan pengaruh Amerika Syarikat di rantau Asia Barat serta membebaskan Syria dari cengkaman Amerika Syarikat.

Keadaan tersebut akan menyukarkan lagi Amerika Syarikat untuk terus memperkukuhkan kedudukannya di Asia Barat kerana di saat ini, ia hampir begitu lemah dan mula tidak mendapat kepercayaan serta sokongan terutamanya di kalangan negara-negara utama Asia Barat seperti Arab Saudi.

“Pembebasan“ Syria kelak dan kelemahan Amerika Syarikat sudah tentunya akan dilihat sebagai petanda cemas oleh regim zionis Israel kerana “huru hara” dan kekacauan yang sedang berlaku di Syria sebenarnya adalah penyelamat buat regim zionis Israel. Selagi mana berlaku kekacauan dan huru hara di Syria, selagi itulah negara haram Israel akan selamat termasuk dengan bantuan daripada Amerika Syarikat.

Perpaduan kekuatan umat dan dunia Islam

Dunia Islam perlu sedar, hanya ukhuwah dan perpaduan sahaja yang dapat mengembalikan kekuatan Dunia Islam dan maruah umatnya. Di saat Dunia Islam lemah dan bermusuhan di antara satu sama lain, musuh–musuh Islam akan mengambil peluang dan kesempatan untuk menjauhkan serta mewujudkan permusuhan dengan tujuan untuk memecahbelahkan Dunia Islam.

Semakin banyak negara di kalangan Dunia Islam berseteru dan berpecah belah, lebih mudah kerja musuh Islam untuk meranapkan Dunia Islam.

Kelemahan Dunia Islam yang paling ketara saat ini ialah iman dan taqwa. Apabila lemahnya iman dan taqwa lalu meninggalkan ajaran Islam yang sebenar, akan hilanglah ukhuwah dan persaudaraan yang memainkan peranan yang paling penting dalam menguatkan perpaduan sesama ummah dan Dunia Islam.

Musuh Islam sedar dan belajar dari pengalaman lalu, Dunia Islam akan kuat apabila mereka bersatu padu dan saling kasih mengasihi. Maka untuk meleraikan kekuatan Dunia Islam dan umatnya, perpaduan dan kesatuan tersebut mestilah dihancurkan.

Inilah apa yang terjadi saat ini, perpecahan dan perseteruan sesama Dunia Islam semakin meranapkan Dunia Islam.

Bayangkan jika seluruh Dunia Islam bersatu padu, dengan kekuatan ummah yang mencecah lebih 1.3 billion orang, gabungan kekayaan hasil bumi seperti minyak dan gas serta sumber tenaga manusia yang ramai serta bijak pandai, tidak mustahil Islam akan kembali gemilang dan menerajui dunia.

Mungkin sekarang masih ada lagi yang tertipu dengan musuh Islam dan leka dengan harta duniawi, satu masa nanti insyaallah Dunia Islam akan bangkit dan bersatu kembali.

Doakan Islam kembali gemilang dan menjadi teraju utama dunia satu masa nanti.

“Islam Menyatukan Umat”

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 16/7/2022

- Advertisement -