Unit Fisioterapi, Unit Makmal Patologi KKM di Tanah Suci

- Advertisement -

UNIT Fisioterapi merupakan salah satu profesion yang penting untuk memastikan kelancaran operasi haji setiap tahun. 

Ini adalah untuk memastikan para jemaah sihat, cergas dan berkeupayaan untuk melakukan ibadah haji dengan sempurna.

Unit Fisioterapi beroperasi di Tanah Suci dengan kekuatan 7 orang Jurupulih Perubatan Fisioterapi, iaitu 3 orang ditempatkan di Pusat Perawatan TH Syisyah, 2 orang di Ibu Pejabat Janadriyah dan 2 orang lagi di Pusat Rawatan Madinah. 

Fungsi Unit Fisioterapi adalah merawat semua pesakit yang dirujuk oleh Pakar Perubatan atau Pegawai Perubatan bagi pesakit di wad dan juga pesakit luar. 

Kes-kes yang dirujuk adalah meliputi jemaah yang mempunyai masalah kardiorespiratori, muskuloskeletal, neurologi dan pelbagai kondisi yang berkaitan. 

Setiap pagi Jurupulih Perubatan Fisioterapi akan mengikuti pakar-pakar dalam aktiviti ‘ward round’ untuk memastikan perawatan yang tepat kepada jemaah yang dirujuk. 

Ini adalah untuk memastikan kesihatan dan kecergasan jemaah dipantau terutamanya sebelum wukuf, namun juga selepas selesai Haji.

Perkhidmatan fisioterapi adalah antara perkhidmatan yang banyak mendapat permintaan di kalangan jemaah Haji Malaysia. 

Syabas diucapkan kepada anggota Jurupulih Perubatan Fisioterapi di atas komitmen yang diberikan. Semoga segala urusan dipermudahkan, Insya-Allah.

Unit Makmal Patologi merupakan salah satu unit sokongan klinikal yang memberi perkhidmatan diagnostik kepada pesakit atau Jemaah Haji dalam proses merawat pesakit. 

Unit ini diterajui oleh seorang Juruteknologi Makmal Perubatan dan dibantu oleh 6 orang Juruteknologi Makmal yang lain.

Beroperasi di 3 tempat yang berasingan iaitu di Pusat Rawatan Utama Syisyah, Makkah dan Pusat Rawatan Dar Al-Roha, Madinah serta satu Makmal di Klinik Kecemasan Al-Janadriah Makkah.

Unit ini menyediakan Perkhidmatan sokongan Sains berteknologi yang sesuai dengan Perkhidmatan Operasi di Tanah Suci pada setiap Musim Haji dengan menjalankan lebih dari 30 ujian Patologi Kimia, Ujian Kaji Darah Haematologi serta Ujian Kaji Kuman (Mikrobiologi). 

Mereka juga bekerjasama dengan profesion perawat yang lain untuk mencapai objektif umum di Pusat Rawatan.

Unit ini adalah salah satu perkhidmatan yang mustahak dalam ‘patient care services’. 

Tanpa keputusan ujian, rawatan kepada pesakit akan tergendala dan keputusan ujian diperlukan bagi menetapkan pendiagnosan yang tepat. 

Ia juga penting bagi pemantauan keberkesanan rawatan kepada pesakit yang dirawat. Oleh itu aspek kualiti dalam keputusan ujian adalah amat penting.

Pasukan kesihatan TH-KKM beruntung kerana mempunyai Unit Makmal Patologi yang agak lengkap dan pasukan yang komited dalam pemberian perkhidmatan berkualiti tinggi. 

Walaupun mereka mungkin tidak dikenali oleh pesakit, mereka tetap komited menjalankan tugasan yang terbaik demi pesakit jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci. Syabas!

TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -