Antara sifat Umar al-Khattab: Meminta supaya dibalas

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 44)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

- Advertisement -

DARIPADA Aasim bin Abdullah, katanya: ‘Umar tidur qailulah di bawah sebatang pokok dalam perjalanan ke Mekah. Apabila matahari semakin terik, dia menarik kainnya. Dia berdiri.

Seorang lelaki memanggilnya: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Adakah engkau ingat seorang lelaki yang ada hajat sangat lama tapi belum ditunaikan?’
Umar bertanya: ‘Siapa yang menangguhkannya?’
Lelaki itu menjawab: ‘Engkau’
Aasim berkata: Ucapan lelaki itu menyebabkan Umar mengetuknya dengan sejenis senjata.
Lelaki itu membalas: ‘Engkau gopoh terhadapku sebelum engkau lihat kes ku? Kalau aku dizalimi, engkau mesti kembalikan hak aku. Kalau aku yang zalim, engkau boleh ambil hak engkau dariku.’

Umar mengambil hujung kainnya, dan menghulurkan kepada lelaki tadi senjata itu. Kata Umar: ‘Balaslah’
Lelaki itu menjawab: ‘Aku tak nak buat’
Umar jawab: ‘Demi Allah! Kamu kena buat sebagaimana seseorang yang mengambil balik haknya.’
Lelaki itu menjawab: ‘Aku maafkannya.’
Umar berhadap kepada lelaki itu, katanya: ‘Engkau balas dari aku lebih baik dari aku dimaafkan sedangkan aku benci.’

Aasim berkata: ‘Kalaulah aku berada di satu tempat yang agak jauh, tentu aku akan mendengar tangisannya.’

(Tarikh Umar al-Khattab, Ibn al-Jawzi. ms 134-135)

Pengajaran:

1. Dialog di atas adalah dialog sebenar dalam sebuah negara Islam, bukan dialog dalam drama dan filem yang hanya menjadi lakonan dan tontonan. Dialog yang menggambarkan nilai ketinggian akhlak pemimpin dan rakyat.

2. Rakyat yang ada masalah, tentu sahaja akan mencari pemimpinnya untuk menyelesaikan masalahnya. Yang jadi masalah ialah apabila pemimpin mencari masalah, kemudian rakyat yang terpaksa menyelesaikan masalah pemimpinnya. Ini sudah terbalik kot namanya.

3. Banyak kisah Umar yang menunjukkan beliau mudah sahaja minta dibalas bila beliau tersilap. Bukan sentiasa mengelak dan memberi pelbagai alasan melepaskan diri, sekalipun memang sengaja buat silap. Contohilah akhlak Umar al-Khattab yang hebat ini, samada anda pemimpin atau dipimpin.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -