Susunan ZULHAIDI MANSOR
COLOMBO: Jangan jatuh sakit atau terlibat dengan sebarang kemalangan! Itulah nasihat yang diberikan oleh doktor-doktor perubatan di Sri Lanka kepada rakyat di negara itu ketika krisis ekonomi yang kian meruncing menyebabkan sistem penjagaan kesihatannya kekurangan ubat dan bekalan penting lain.
Negara kepulauan Asia Selatan itu yang kini juga mengalami pergolakan politik itu menghadapi masalah kekurangan wang untuk membayar import asas seperti bahan api, makanan, dan ubat-ubatan yang semakin kehabisan.
Sumber Arab News melaporkan, beberapa doktor telah beralih ke media sosial untuk cuba mendapatkan sumbangan bekalan atau dana.
Mereka juga menggesa rakyat Sri Lanka yang tinggal di luar negara untuk turut sama membantu dan setakat ini belum ada tanda-tanda berakhirnya krisis yang telah mendorong negara ke dalam krisis ekonomi dan politik.
Seorang rakyat Sri Lanka, Hasini Wasana yang baru berusia 15 tahun mungkin tidak mendapat ubat yang diperlukan untuk pemindahan buah pinggangnya.
Dia mendapat pemindahan pemindahan buah pinggang sembilan bulan lalu dan perlu mengambil penahan imun setiap hari sepanjang hayatnya untuk mengelakkan tubuhnya menolak organ tersebut. Penyakit buah pinggang yang dihidapnya didiagnos sejak dia kecil lagi.
Keluarga Hasini bergantung kepada penderma untuk membantunya sekarang kerana hospital tidak lagi dapat menyediakan tablet Tacrolimus yang diterimanya sebelum ini secara percuma sehingga beberapa minggu lalu. Dia mengambil lapan setengah tablet sehari dan kosnya meningkat sehingga lebih daripada AS$200 sebulan, hanya untuk satu tablet ubat itu.
“Kami diberitahu oleh pihak hospital bahawa mereka tidak tahu bila mereka akan mempunyai tablet ini lagi,” kata Ishara Thilini, kakak Hasini.
Keluarga itu menjual rumah mereka dan bapa Hasini mendapat pekerjaan di Timur Tengah untuk membantu membayar rawatan perubatannya, tetapi pendapatannya tidak mencukupi.
Hospital kanser di Sri Lanka juga, sedang bergelut untuk mengekalkan stok ubat penting untuk memastikan rawatan tidak terganggu.
“Jangan sakit, jangan cedera, jangan lakukan apa-apa yang akan membuat anda perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang tidak perlu.
“Itulah cara saya boleh menjelaskannya; ini adalah keadaan yang serius,” kata Presiden Persatuan Perubatan Sri Lanka, Samath Dharmarathne.
Dr. Charles Nugawela, yang mengetuai sebuah hospital buah pinggang di ibu negara Sri Lanka, Colombo, pula berkata, hospital di bawah kendaliannya itu terus beroperasi berkat ramainya penderma tetapi terpaksa menyediakan ubat hanya kepada pesakit yang penyakitnya telah meningkat ke tahap di mana mereka memerlukan dialisis.
Nugawela bimbang hospital mungkin terpaksa menangguhkan semua kecuali pembedahan yang paling mendesak kerana kekurangan bahan jahitan.
Sementara, ujar Dr Nadarajah Jeyakumaran, Kolej Pakar Onkologi Sri Lanka telah memberikan senarai ubat penting kepada Kementerian Kesihatan, yang mana semua hospital perlu ada sepanjang masa supaya ia dapat disediakan bagi rawatan kanser tanpa sebarang gangguan.
“Ia bukan hanya ubat. Pesakit yang menjalani kemoterapi terdedah kepada jangkitan dan tidak boleh makan secara normal tetapi hospital tidak mempunyai makanan tambahan yang mencukupi,” jelasnya.
Hospital turut kekurangan ubat untuk rabies, epilepsi dan penyakit kelamin. Makmal tidak mempunyai cukup reagen yang diperlukan untuk menjalankan ujian kiraan darah penuh. Barangan seperti bahan jahitan, stokin kapas untuk pembedahan, bekalan untuk pemindahan darah, malah bulu kapas dan kain kasa semakin pendek.
Dalam pada itu Galvnews pula melaporkan kadar kematian bayi Sri Lanka, hanya di bawah 7 setiap 1,000 kelahiran hidup, tidak jauh dari AS, dengan 5 setiap 1,000 kelahiran hidup, atau Jepun 1.6. Kadar kematian ibunya hampir 30 setiap 100,000 berbanding dengan kebanyakan negara membangun. Kadar AS ialah 19, manakala Jepun ialah 5.
Jangka hayat telah meningkat kepada hampir 75 tahun menjelang 2016 daripada bawah 72 tahun pada 2000.
Sri Lanka telah berjaya menghapuskan malaria, polio, kusta, penyakit parasit tropika filariasis yang biasanya dikenali sebagai elephantiasis, dan kebanyakan penyakit lain yang boleh dicegah dengan vaksin.
Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe telah merayu bantuan antarabangsa dan Amerika Syarikar, Jepun, India dan negara lain telah menjanjikan dana dan sokongan kemanusiaan lain.
“Bantuan itu dan banyak lagi daripada Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan agensi lain akan memastikan bekalan perubatan sehingga akhir tahun depan,” kata beliau.
Sementara menurut Dharmaratne, keadaan di wad dan bilik bedah hospital kelihatan kurang meyakinkan dan ia membawa kepada ancaman dari segi menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem kesihatan.
“Berbanding dengan Covid-19, kerana keadaan kecemasan kesihatan hari ini jauh lebih teruk,” kata Dharmaratne. -HARAKAHDAILY 13/7/2022