Trauma dan agama

- Advertisement -

TRAUMA akibat peristiwa buruk yang dialami oleh sesetengah kita, tidak menjadikan ia hujah bahawa agama ini tidak benar. 

Selayaknya perlakuan buruk yang membawa kepada trauma wajar ditolak dan ditentang. 

Mereka yang trauma pula wajar mendapat rawatan supaya ia tidak menghantui hidup lalu menjejaskan hidup, apatah lagi memberi kesan dalam gaya berfikir dan praktikal beragama. 

Trauma terhadap agama, memerlukan penjelasan yang tuntas dan tepat, padanan antara keperluan emosi dan akal yang seimbang sangat diperlukan. Kerana agama Islam datang meraikan akal dan emosi, lalu dipandu keduanya dengan wahyu.

Dalam suasana agama dihina dan dipermain oleh penganutnya sendiri, datang pula kumpulan yang memeluk Islam kerana terkesan dengan kecantikan Islam, aneh bukan?

Marah kepada penghina agama itu perlu, tetapi cermat juga perlu. Supaya kita tidak pukul rata dan melihat faktor ia berlaku secara terperinci dan punca di sebalik ia berlaku.

Bahkan, dalam fasa begini, muhasabah pembawa agama juga didambakan untuk menilai tahap penyampaian kepada umat. Apakah ia membumi dan sepadan atau sebaliknya.

Sebelum Baginda S.A.W diutuskan, terdapat kisah inspirasi mencari iman, antaranya kisah Salman Al Farisi. Berasal dari kaum penyembah api di bumi Asfahan, lalu mengembara jauh mencari Nabi akhir zaman. 

Pernah ditipu oleh penunggang agama, discam lagi oleh pedagang lalu bergelar hamba abdi kepada Yahudi, tetapi tidak menghalang niat sucinya mencari kebenaran. 

Ia bukan setakat soal mencari kebenaran, tetapi mesti memiliki pengetahuan apa itu kebenaran. 

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -