Manifestasi ketauhidan keluarga Nabi Ibrahim A.S

- Advertisement -

KISAH pengorbanan Nabi Ibrahim A.S ketika peristiwa korban anaknya Nabi Ismail, merupakan suatu manifestasi ketundukan dan lambang ketauhidan yang cukup tinggi dalam menjunjung titah perintah Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Saffat ayat 102:

- Advertisement -

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’ Anaknya menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.’”

Kesanggupan Nabi Ibrahim sebagai seorang ayah yang sangat menyayangi anaknya dalam menyembelih zuriatnya semata-mata kerana menjunjung perintah Allah S.W.T memberi gambaran kepada kita bahawa ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah merupakan suatu keutamaan yang tertinggi walaupun berbagai cacian dan makian yang akan dilemparkan pembenci Islam.

Hari ini kita lihat ada sebahagian daripada kita mengaku dirinya Muslim, namun mempersendakan perintah Allah dan dengan bangganya membuka pakaian di depan khalayak ramai. Ada yang lebih teruk mempersendakan perintah Allah S.W.T menyuruh Nabi Ibrahim A.S menyembelih anaknya yang jelas tidak memahami bahawa pensyariatan melalui mimpi itu khususiyyat untuk Nabi.

Maka, menjadi tugas kita memberi gambaran Islam yang mulia ini kepada masyarakat umum dan mentakzimkan perintah Allah S.W.T. Kita ambil ibrah daripada kisah pengorbanan ini agar kita semua dapat mengutamakan perintah Allah mengatasi segala kehendak nafsu dan kepentingan peribadi yang bersifat duniawi.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -