200 muslimat Kedah sertai Ops Cuci Banjir Perdana

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Lebih 200 sukarelawan daripada 14 kawasan Dewan Muslimat PAS seluruh Kedah terlibat dalam Ops Cuci Banjir Perdana tragedi kepala air di Kampung Iboi, semalam.

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, misi kali ini menyasarkan beberapa kampung yang terlibat dengan kejadian 4 Julai lalu.

“Setiap kampung antara empat hingga lima buah rumah yang sempat dicuci dan dibersihkan oleh sukarelawan muslimat yang berkampung di Baling hari ini,” jelas beliau ketika ditemui, di sini semalam.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama katanya lagi, beberapa kumpulan ditugaskan untuk menyampaikan barangan keperluan kepada mangsa, antaranya di Kampung Sadik dan lokasi berhampiran Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang.

Misi Ops Cuci Perdana turut disertai Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan isteri Menteri Besar, Toh Puah Jusmalailani Jusuh bersama ahli jawatankuasa Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (PIKAT).

Selain mencuci dan membersihkan rumah-rumah mangsa yang dimasuki selut dan lumpur, para sukarelawan juga memberi tumpuan membasuh peralatan dapur seperti pinggan mangkuk yang tenggelam dilanda bah.

Semua sukarelawan berkumpul di Markas Operasi Bencana PAS Baling sebelum diagihkan ke kampung-kampung yang dikenal pasti.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang sanggup datang dari jauh termasuk juga yang bertungkus lumus di sini (markas operasi) sejak petang kejadian,” tambahnya.

Ashah yang juga Exco kerajaan negeri bersama Ustazah Nuridah sempat bertemu waris tiga mangsa yang terkorban, Abd Rahman Said.

Markas Operasi Bencana PAS Baling, semalam turut menerima sumbangan barangan keperluan daripada badan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan Sungai Petani bernilai RM10,000. – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -