BWF naikkan status Terbuka Malaysia, satu pengiktirafan besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menaikkan status Terbuka Malaysia daripada Jelajah Dunia Super 750 kepada Super 1000 bermula tahun depan hingga 2026, sememangnya satu pengiktirafan besar bagi arena badminton negara.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan BWF menaikkan taraf Terbuka Malaysia menandakan Malaysia kini setanding dengan kuasa elit badminton di peringkat antarabangsa, bersama dengan All England, Terbuka Indonesia dan Terbuka China.

- Advertisement -

“Ini pastinya memberi peluang besar kepada pemain Malaysia untuk menyerlah dalam kejohanan berprestij di tanah air,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Bukan itu sahaja, Mohamad Norza berkata BAM akan menjalin kerjasama dengan penaja utama, Petronas untuk memastikan Terbuka Malaysia akan menjadi kejohanan yang berjaya untuk tahun-tahun mendatang.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann menyifatkan status baharu Terbuka Malaysia itu sebagai berita baik untuk sukan itu selain perlu melihat kehadiran pemain terbaik dunia yang lebih memberangsangkan dalam kejohanan tersebut.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia turut memuji peningkatan status Terbuka Malaysia sebagai petanda baik untuk pembangunan badminton di negara ini.

Terbuka Malaysia yang dianjurkan setiap tahun sejak 1937 dengan  beberapa pengecualian, telah dikategorikan sebagai Super 750 sejak 2018.

Selepas dihentikan akibat Covid-19 sejak dua tahun lepas, Terbuka Malaysia 2022 dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai, diikuti Malaysia Masters dari 5-10 Julai.

Kedua-dua kejohanan itu diadakan di Axiata Arena di sini.

Hadiah wang tunai US$670,000 menanti pemenang pada Terbuka Malaysia 2022 manakala Malaysia Masters menawarkan hadiah keseluruhan US$360,000. – BERNAMA

- Advertisement -