MTQM Muar lakar satu lagi sejarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad melahirkan rasa bangga dengan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Muhammadi (MTQM), Muar yang menubuhkan Pusat Sains dan Inovasi.

Menurutnya, sebagai tanda sokongan, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memberikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada MTQM.

Katanya, dalam banyak-banyak program yang perlu dihadiri, program bersama anak-anak tahfiz sentiasa ada tempat istimewa di hati beliau.

- Advertisement -

“Budak-budak hafal al-Quran ni dosa tak banyak sebab syarat nak hafal al-Quran adalah dosa tak banyak,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini

Sehubungan itu, ujarnya beliau pada hari ini bercampur perasaan sebak dan bangga untuk bertemu dengan anak-anak MTQM. 

“Sebak kerana maahad ini telah dirasmikan oleh insan cukup hebat, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 2003,” katanya.

Pada awalnya, kata beliau MTQM hanya mengambil seramai 12 orang pelajar sahaja dan hanya menyediakan kelas Hafazan.

Tambahnya, tahun demi tahun ia terus berkembang dengan sokongan daripada masyarakat sehingga berjaya mendidik 80 orang pelajar dengan ditambah pelajaran subjek Diniah bagi memahami kandungan Al-Quran pada 2008.

Beliau berkata, tidak berhenti di situ, MTQM terus berkembang dengan menawarkan pelajar untuk menduduki peperiksaan SPM buat pertama kali pada tahun 2011.

“Cukup bangga kerana hari ini MTQM melakar satu lagi sejarah dengan penubuhan Pusat Sains dan Inovasi MTQM sebagai tanda kecaknaan keperluan sistem pendidikan zaman kini.

“Usaha bermakna ini adalah sempena menuju 20 tahun penubuhan MTQM pada tahun 2024 nanti. Insya-Allah.

“Besar harapan saya, semoga anak-anak generasi huffaz profesional di hadapan saya ini menjadi pelapis ulama dan umara yang dapat memandu masyarakat dan negara dengan syariat agama,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -