Kemuliaan pembawa hadis

- Advertisement -

ISLAM sangat mengambil berat terhadap periwayatan hadis kerana hadis merupakan sumber hukum yang kedua selepas al-Quran al-Karim. Ia memberikan gambaran mengenai kehidupan sebenar Nabi Muhammad S.A.W daripada hari kelahiran hinggalah kewafatannya.

Menjaga dan menyampaikan hadis Nabi S.A.W umpama menjaga agama Islam itu sendiri dan mendapat kedudukan yang tinggi kerana dia termasuk dalam doa Rasulullah S.A.W. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘ud, Nabi S.A.W bersabda:

- Advertisement -

نضَّرَ اللَّهُ عبدًا سمِعَ مَقالَتي، فحفِظَها ووَعاها وأدّاها، فرُبَّ حاملِ فِقهٍ غيرِ فقيهٍ، ورُبَّ حاملِ فِقهٍ إلى مَن هو أفقَهُ مِنهُ

 “Semoga Allah menyerikan orang yang mendengar kalamku lalu memeliharanya, menghafalnya dan menyampaikannya. Berkemungkinan pembawa fiqh tidak faqih dan berkemungkinan pembawa fiqh (membawakannya) kepada orang yang lebih faqih.” 

[Riwayat al-Tirmizi (2658) dan al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan (44). Dinilai sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut]

Begitu juga daripada Thauban R.A, Nabi S.A.W bersabda:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ

“Akan sentiasa wujud sekumpulan dalam kalangan umatku, golongan yang berada di jalan kebenaran, tidak akan memudaratkan mereka setiap yang menjauhkan diri daripada mereka (dengan tidak membantu dan tidak menyokong), sehinggalah berlakunya kiamat.

(Riwayat Muslim (1920))

Imam Ahmad bin Hanbal ketika menghuraikan maksud ‘sekumpulan’ dalam hadis ini berkata: 

“Sekiranya mereka itu bukan ahli hadis, maka saya tidak tahu siapakah lagi mereka itu.”

[Syaraf Ashab al-Hadith oleh al-Khatib al-Baghdadi, 46).

Mulianya kedudukan orang yang menyampaikan hadis Nabi S.A.W. Merekalah yang telah memperincikan kepada kita cara kehidupan beragama, menyebarkan sunnah dan membanteras kebatilan. Mereka jugalah yang cuba menjaga kesahihan riwayat hadis Baginda dan begitu kuat mencontohi Baginda. Maka sewajarnya kita kutip ilmu dan hasil usaha yang telah ditinggalkan mereka.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 16/6/2022

- Advertisement -