Ikut Islam, Yahudi pun boleh menang kes di mahkamah

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 40)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

MALIK mengeluarkan daripada Said bin Al-Musayyib bahawa seorang Islam dan Yahudi bertelingkah dan membawa kes kepada Umar al-Khattab. Beliau melihat kes itu berpihak kepada si Yahudi, lalu dijatuhkan hukuman demikian.

Si Yahudi itu berkata: Demi Allah! Engkau telah menghukum dengan sebenar.

Umar mengetuknya dengan tandan kurma, sambil berkata: Macamana kamu tahu?

Si Yahudi berkata: ‘Demi Allah! Sesungguhnya kami dapati dalam Taurat! Tidak ada hakim yang berhukum dengan adil melainkan ada di kanannya malaikat, di kirinya malaikat, yang menyokongnya dan menunjuk kepadanya kebenaran selama mana dia bersama dengan kebenaran. Apabila dia tinggalkan kebenaran, 2 malaikat itu berundur dan meninggalkannya.

Hayatus-Sahabah, Al-Kandahlawi, 2/105.

Keadilan Islam mengatasi etnik, ras, bangsa dan agama. Di mahkamah, plaintif dan defendan mempunyai hak masing-masing. Menurut Islam, keadilan mesti ditegakkan. Perasaan, kecenderungan hati dan emosi mesti dikemudiankan.

Jika fakta kes, bahan bukti, saksi menyebelahi seorang Yahudi sekalipun, dan tidak berpihak kepada lawannya seorang Islam, hakim mesti memenangkan si Yahudi itu. Inilah kehebatan sistem Islam.

Orang Yahudi yang tinggal dalam sebuah negara Islam ada haknya tersendiri.

Cuma dalam bentuk yang lain, kita tidak dapat mengiktiraf sebuah negara haram Israel yang ditegakkan oleh pendatang Yahudi di atas tanah orang Palestin.

Demikian juga kita berhati-hati dengan agenda mereka di semua peringkat dan sektor seperti yang diingatkan oleh al-Quran dan hadis.

Islam mengajar kita hidup berprinsip di semua tempat dan keadaan. Yang boleh dikompromi, kita berbincang. Yang mesti diberikan hak, diberikan hak. Yang mesti dipertahan, tetap dipertahan walau bertembung dengan Yahudi.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 16/6/2022

- Advertisement -