Kenaikan harga bahan binaan punca projek lambat siap

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Dua projek pembangunan Negeri Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mengalami kelewatan sehingga projek itu tidak dapat disiapkan pada tempoh ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, kelewatan itu disebabkan beberapa faktor termasuk kenaikan harga bahan binaan, kekurangan tenaga kerja dan kelewatan kontraktor.

Menurutnya projek terbabit melibatkan projek pembesaran dan menaiktaraf Terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa serta pembinaan lebuhraya Ketereh-Kok lanas.

- Advertisement -

Katanya, pembinaan Terminal LTSIP mengalami kelewatan selama 100 hari, manakala bagi pembinaan lebuhraya Ketereh-Kok Lanas mengalami kelewatan selama 308 hari iaitu sebanyak 23 peratus.

“Saya berharap kerjasama daripada jabatan dan agensi terlibat supaya kita dapat bertindak sebagai pemudah cara dan membantu pihak pelaksana projek termasuk kontraktor supaya projek dapat disiapkan mengikut perancangan.

“Pelaksanaan projek pembangunan mesti dilaksana mengikut jadual agar rakyat dapat menikmati manfaatnya, di samping merancakkan aktiviti ekonomi,” katanya pada sidang media selespas sesi taklimat dan mesyuarat pengurusan projek pembangunan di Kota Darulnaim hari ini.

Kata beliau juga pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai mempunyai tujuh pakej dengan anggaran kos sebanyak RM2.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Beliau berkata, sehingga Mei 2022 dua pakej siap sepenuhnya, manakala lima lagi pakej masih dalam peringkat pembinaan serta empat daripada lima pakej tersebut berjalan mengikut jadual. – HARAKAHDAILY 14/6/2022

- Advertisement -