Umat Islam perlu bersolidariti bukti kekuatan ummah

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Umat Islam perlu bangkit bersolidariti bagi membuktikan kekuatan ummah serta kebersamaan dalam menjaga kesucian Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.

Penghinaan terhadap baginda yang dikeluarkan dua ahli politik India baru-baru ini wajib ditentang seluruh umat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerbersamaan itu mesti diterjemahkan bagi menggerunkan pihak luar untuk menghina agama Islam agar tidak terus berulang.

- Advertisement -

“Nabi SAW tidak mengajar orang Islam menghina agama lain, jadi jika ada individu yang melampau cuba menghina Baginda, maka perbuatan itu boleh dianggap ekstrem dan melampau serta tidak boleh diterima.

“Kita menggesa semua umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh negara bangkit membantah dan membela penghinaan terhadap nabi kita,” ujarnya selepas majlis perasmian Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia, Indonesia, Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik daripada parti pemerintah India yang didakwa menghina Islam.

Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP), kemudian menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya dalam media sosial.

Ahmad Marzuk turut menolak dakwaan segelintir pihak yang menyatakan pihaknya tidak bertindak tegas dalam mengenai isi penghinaan Nabi Muhamaad SAW.

“Pihak kami terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan menentang tindakan penghinaan terhadap nabi yang nyata menjadi isu sensitif buat umat Islam seluruh negara.

“Selain itu, hari ini (semalam) terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pergi ke Kedutaan India bagi membuat bantahan.

“Kami di Jabatan Perdana Menteri menyokong bantahan berkenaan, malah sekiranya bantahan diadakan di sekitar Kuala Lumpur dan seleruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2022

- Advertisement -