Kerjasama di belakang tabir antara Rusia dan China

- Advertisement -

Penjajaran order baharu dunia dan pengakhiran hegemoni AS (Bah 2)

SELEPAS berdekad-dekad seperti tiada arah, strategi dan moral, NATO secara tiba-tiba kini dipenuhi dengan pelbagai tujuan dan takdir yang diperbaharui. Perang Rusia – Ukraine telah menjadikan Amerika Syarikat dan NATO begitu ghairah “menyerang” Rusia dari segenap sudut dan menjadi sasaran utamanya.

- Advertisement -

Amerika Syarikat dan sekutunya kini sedang berusaha habis-habisan untuk menghukum Rusia dengan begitu teruk sekali dengan mengenakan pelbagai bentuk sekatan, namun turut menyedari bahawa selain daripada Rusia, China juga adalah ancaman utama serta berusaha mengenakan tindakan serupa ke atas China yang dikhuatiri berkerjasama dengan Rusia di belakang tabir.

Namun China dilihat begitu berhati-hati menunjukkan sokongan kepada Rusia di samping seolah-olah menunggu langkah Rusia yang seterusnya. Dalam masa yang sama Amerika Syarikat meningkatkan tekanan dan ancaman terhadap China melalui isu Taiwan dan Laut China Selatan.

Selepas kejatuhan Soviet Union, Rusia melalui zaman kegelapan terutamanya dari sudut ekonomi namun Presiden Rusia Vladimir Putin telah mengembalikan kekuatan Rusia baik dari segi ekonomi dan politik di pentas antarangsa dengan memanfaatkan rizab minyak dan gas besar negaranya yang menjadi pemangkin terhadap kejayaan kebangkitan tersebut.

Bermula dengan konflik di Georgia pada 2008 dan Crimea pada 2014, bantuan ke atas Belarus dan Kazakhstan baru-baru ini berikutan protes besar-besaran di kedua-dua negara tersebut serta pengaruh Rusia yang semakin kuat di Asia Barat termasuk Eropah, Vladimir Putin telah menunjukkan kebangkitan pengaruh Rusia dalam arena geopolitik dunia yang telah menimbulkan kegerunan Barat.

Konflik mahupun peperangan di Ukraine ketika ini akan menjadi titik tolak terhadap perluasan pengaruh dan geopolitk Rusia di pentas antarabangsa khususnya ketika ini di Eropah. Ramai yang berpendapat Ukraine adalah medan ujian terhadap kesatuan negara-negara Eropah yang dilihat tidak sekata dan berpecah-belah dalam menentapkan pendirian terhadap Rusia.

Tanpa memperdulikan Barat yang mengenakan pelbagai tekanan dan sekatan serta terus memperhebatkan serangan ke atas Ukraine, usaha Vladimir Putin nampaknya telah mula membuatkan Amerika Syarikat dan Barat memikirkan pelbagai strategi dan kaedah untuk menundukkan Rusia.

Pada Persidangan Keselamatan Munich di Jerman awal Februari lalu, pemimpin Barat seperti Canselor baharu Jerman Olaf Scholz menghadapi kritikan hebat kerana kerana dianggap terlalu berlembut terhadap Rusia sambil menekankan keperluan untuk NATO “mengumpulkan keupayaan” untuk bertindak.

German Chancellor Olaf Scholz arrives for a Security Cabinet meeting at the Chancellery in Berlin, Germany, Monday, Feb. 28, 2022. (AP Photo/Hannibal Hanschke, Pool)

Jerman bukan sahaja telah menggantung projek saluran paip gas Nord Stream 2, asas kerjasama tenaga Jerman – Rusia dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi sebaik sahaja Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine, Amerika Syarikat dan sekutu utamanya yang lain serta-merta telah mengenakan sekatan amat berat yang bukan sahaja boleh memberi kesan kepada ekonomi Rusia tetapi cuba menjauhkan Vladimir Putin daripada penyokongnya.

Ketika Barat mula menunjukkan kebersamaan dan Ukraine berpegang pada pendiriannya, China mula memaparkan sikapnya. Semasa ucapan maya di Persidangan Keselamatan Munich, Menteri Luar China Wang Yi menekankan perlunya integriti wilayah dan kedaulatan negara dengan menjelaskan bahawa Ukraine tidak terkecuali.

Jauh daripada menawarkan sokongan terhadap serangan Rusia ke atas Ukraine, Beijing menyeru semua pihak agar tidak bertindak tanpa kawalan dan mengiktiraf kepentingan keselamatan sejagat untuk semua dengan mengurangkan ketegangan melalui dialog.

The first border bridge over the Amur (Heilongjiang) River is seen linking the Russian city of Blagoveshchensk and the Chinese city of Heihe during its inauguration ceremony [Amur region government via AFP]

Kenyatan tersebut menimbulkan kemarahan Barat yang menyatakan China seolah-olah cuba melindungi Rusia dengan menyatakan kepentingan menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan integriti wilayah semua negara tanpa mengecam tindakan Rusia ke atas Ukraine.

Seterusnya Amerika Syarikat dan Barat terus menekan China supaya tidak bersama dan menyokong Rusia di Ukraine termasuk memberi amaran terhadap China jika di belakang tabir China membantu Rusia untuk “ melepasi “ sekatan yang dikenakan oleh Barat. Walau bagaimanapun dalam jangka panjang, Amerika Syarikat dan Barat mengetahui bahawa China kekal sebagai cabaran yang jauh lebih besar daripada Rusia terhadap hegemoni global yang diterajui Amerika Syarikat.

Bersambung…

“Islam Menyatukan Umat”

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 11/6/2022

- Advertisement -