Hati-hati sambut perayaan pihak lain berunsur keagamaan

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini perlu berhati-hati menyambut sesuatu perayaan pihak lain kerana dibimbangi terdapat unsur-unsur keagamaan.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, pertikaian mengenai sambutan Bon Odori yang bakal diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam dipercayai merupakan perayaan agama Buddha.

Katanya, difahamkan perayaan itu untuk menghormati roh nenek moyang.

- Advertisement -

“Masyarakat Jepun merayakan pesta tersebut dengan pulang ke kampung halaman serta membersihkan perkuburan nenek moyang mereka serta melawat altar-altar milik keluarga.

“Adat tersebut diamalkan sejak 500 hingga 600 tahun dahulu melibatkan satu tarian yang dinamakan tarian Bon (Bon Odori),” katanya pada kenyataan hari ini.

Oleh itu Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengingatkan umat Islam di negara ini mengelakkan diri daripada menyertainya sebagai langkah menjaga aqidah.

Kata beliau umat Islam harus berpegang dengan hadis Rasulullah s.a.w : ‘Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari kalangan mereka’ (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Menurutnya juga nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Idris Ahmad supaya umat Islam tidak menyambut perayaan Bon Odori haruslah diterima secara positif.

Dr Najihatussalehah berkata, langkah itu penting dari sudut ketegasan melindungi aqidah ummat.

“Jika sekalipun program tersebut pernah diadakan di Malaysia sebelum ini di saat umat Islam belum mengetahui mengenai fakta sebenar di sebalik sambutan tersebut.

“Maka setelah kita diberi penjelasan bahawa perayaan tersebut berkait dengan agama Buddha, maka umat Islam seharusnya menghindarkan diri dari terlibat dengan perayaan seumpama itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2022

- Advertisement -