Optimis pembangunan ekosistem teknologi penderia

- Advertisement -

RANGKA Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) yang dilancarkan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk melonjakkan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara selari dengan pertumbuhan ekonomi bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

Rangka Kerja 10-10 MySTIE yang dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) akan berfungsi sebagai pemangkin bagi mencapai usaha ini melalui penetapan 30 bidang keutamaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara yang memenuhi keperluan industri. Antara pemacu sains dan teknologi yang diberi keutamaan dalam Rangka Kerja ini adalah Teknologi Penderia (Sensor Technology).

Hari ini, saya menerima pembentangan mengenai teknologi penderia daripada Akademi Sains Malaysia. Turur hadir bersama pada sesi pembentangan adalah YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, TKSU (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Prof Madya Dr. Ruslinda A Rahim, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, YBrs. Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, YBrs. Encik Mohamad Fauzi Yahaya, Pengarah Kanan MIMOS Berhad, Prof Dato’ Dr Musa bin Ahmad, Pengerusi Persatuan Sensor Malaysia serta timbalannya, Prof. Madya Dr. Jaafar bin Abdullah.

Saya difahamkan Persatuan Pembangunan Teknologi Sensor Malaysia telah ditubuhkan pada 28 Februari 2013 hasil usaha serta gandingan para akademik daripada beberapa institusi dan universiti dalam negara kita. Misi utama persatuan ini adalah untuk memberi sumbangan terhadap pengembangan sains sensor dan teknologi penderia serta mendorong kerjasama antara saintis dan jurutera daripada pelbagai bidang.

Sememangnya kita mempunyai ramai kepakaran dalam bidang teknologi penderia ini, begitu juga industri-industri yang berminat untuk mengusahakan pembangunan teknologi penderia ini. Dalam pembentangan tadi, saya difahamkan jumlah import dan eksport teknologi sensor negara kita makin meningkat. 

Ini menunjukkan industri tempatan sememangnya berminat untuk menceburi bidang teknologi penderia ini. Kita mempunyai banyak syarikat tempatan seperti SilTerra Sdn. Bhd., Biogenes Sdn. Bhd dan sebagainya yang terlibat dalam pembangunan semiconductor dalam negara kita.

Seiring dengan perkembangan 41R terkini, contoh gabungan teknologi ini boleh digambarkan dalam sektor pertanian. Petani yang dilengkapi dengan teknologi 41R akan menggunakan pelbagai sensor dan robot, dan menghasilkan tanaman berkhasiat mengikut spesifikasi yang diperlukan. Pengguna boleh membeli hasil tanaman tersebut dengan selesa dari kediaman masing-masing melalui penggunaan internet dan platform model perniagaan rakan setara.

Saya yakin dan percaya keterangkuman daripada kesemua pihak sama ada pihak kerajaan dan pihak industri amat penting dalam menentukan hala tuju serta pembangunan ekosistem teknologi penderia di Malaysia.

YB DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -