YAPIS bakal punyai kompleks di tanah seluas 9.72 ekar

- Advertisement -

SUNGAI BESAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Ustaz Idris Ahmad telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS), semalam.

Projek akan menjadi mercu tanda pendidikan di Selangor dalam melahirkan ilmuan Islam ini melibatkan pembinaan di atas tanah berkeluasan 9.72 ekar terletak di Rancangan Tanah Belia 1, Mukim Sungai Panjang, di sini.

Projek ini dalam perancangan akan dijalankan secara dua fasa di mana Fasa 1 melibatkan pembinaan sekolah menengah dengan kapasiti 800 pelajar, manakala Fasa 2 nanti melibatkan pembinaan institusi pengajian tinggi.

Majlis ini turut dihadiri Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah YAPIS, Dr Halimah Ali dan barisan Ahli Lembaga Pengarah YAPIS, selain Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Juga hadir bersama adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Besar, Ustaz Mohd Fazdin Taslimin dan Yang Dipertua PAS Kawasan Sabak Bernam, Ustaz Sallehen Mukhyi serta barisan pimpinan agensi kerajaan.

Ketika ini projek masih dalam proses pengumpulan dana di mana apabila siap kelak akan digunakan oleh para pelajar dari Maahad Integrasi Tunas Ilmuwan Selangor (MITTIS) Sabak Bernam dan Kajang.

Turut akan berada di bawah naungan dan aktiviti YAPIS juga adalah Akademi Integrasi Tahfiz Al-Falah (AITAF) Rawang serta penawaran Sijil Perguruan YAPIS (SPY) serta Tahfiz TVET School pada masa akan datang.

Dato’ Idris dalam ucapannya mengingatkan semua agar mempelajari adab dan akhlak terlebih dahulu supaya ilmu yang dipelajari akan memberikan keberkatan hidup dan akhirat. 

Beliau juga berharap dengan pembinaan YAPIS kelak dapat terus melebarkan dakwah secara lebih giat dan luas ke seluruh negara. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -