Bakal jemaah haji perlu teliti ujian saringan Covid-19

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

SEPANG:
Bakal jemaah haji diingatkan agar teliti dalam melakukan ujian PCR Covid-19 dalam masa 56 jam sebelum melapor diri di stesen berlepas.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya positif hendaklah segera memaklumkan kepada pihak TH.

“Ini supaya kita boleh seterusnya menasihati mereka dan membuat perancangan yang seterusnya supaya dapat membantu mereka juga untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini,” katanya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, prosedur terbaru Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa jemaah yang negative ujian PCR sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan fardu haji.

“Penerbangan yang pertama sudah tentunya kita juga menjangkakan ada kemungkinan berlakunya ujian PCR daripada pihak jemaah yang mungkin positif.

“Kita dapati pada tahun ini iaitu pada kali ini pada penerbangan pertama terdapat tiga para jemaah haji yang PCR mereka yang positif dan mereka telah maklum kepada kami lebih awal.

“Kami telahpun menasihati mereka supaya melalui proses atau prosedur-prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia di mana mereka hendaklah melalui tempoh kuarantin yang sepatutnya selepas itu, apabila mereka tiada lagi apa-apa simptom mereka bolehlah mendapat nasihat daripada pihak hospital dan doktor dan membuat ujian PCR sekali lagi,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, sekiranya ujian PCR jemaah berkenaan negatif pihaknya akan sedaya upaya mendapatkan tempat untuk membawa mereka ke Tanah Suci.

“Kalau ujian PCR mereka negatif dan penerbangan masih ada kita akan cuba sedaya upaya mendapatkan seat seat yang kosong untuk membawa mereka juga ke Tanah Suci,” katanya.

Menurut beliau yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, sekiranya jemaah berpasangan di mana salah seorang dijangkiti Covid-19 boleh membuat pilihan sama ada meneruskan secara solo atau menunggu giliran seterusnya untuk pergi bersama.

“Kalau mereka ada pasangan iaitu seorang positif dan seorang negatif, jadi terpulang kepada mereka sama ada nak meneruskan perjalanan seorang yang negatif ataupun kedua-duanya menunggu untuk pergi bersama.

“Namun sekiranya mereka pergi secara berasingan, mereka akan ditempatkan di dalam hotel-hotel yang berasingan. Jadi itu mungkin akan menimbulkan sedikit kerumitan masa mereka berada di sana.

“Jadi terpulang kepada mereka, mereka nak teruskan atau tidak,” katanya lagi.

Hari ini, seramai 295 bakal jemaah Malaysia bagi musim 1443H/2022 berlepas ke Tanah Suci jam 1.35 petang. – HARAKAHDAILY 4/6/2022

- Advertisement -