358 keluarga mangsa banjir terima wang ihsan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA:
Seramai 358 keluarga yang menjadi mangsa banjir di daerah Pokok Sena tahun lepas menerima sumbangan wang ihsan sebanyak RM1,000 setiap keluarga.

Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sumbangan tersebut daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berdasarkan penilaian kerosakan yang dialami setiap mangsa.

Katanya ketika kejadian Kepala Air Gunung Jerai sebelum ini setiap keluarga yang terlibat menerima sumbangan NADMA sebanyak RM500.

- Advertisement -

“Jumlah itu dinaikkan kepada RM1,000 kerana mengambil kira kerosakan yang dialami mangsa berdasarkan penilaian yang dibuat,” katanya pada program penyampaian sumbangan itu semalam.

Oleh itu beliau berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Menurutnya juga mangsa banjir di beberapa daerah lain termasuk Kubang Pasu dan Baling sudah diserah sumbangan berkenaan.

Sanusi juga berkata, sebelum ini daerah Pokok Sena jarang ditenggelami banjir, namun disebabkan hujan lebat pada Oktober tahun lalu banyak kampung tenggelam.

“Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan NADMA atas bantuan ini. Kebanyakan yang terlibat di daerah ini merupakan penduduk asal dan kita amat bersimpati terhadap mereka,” tambah beliau.

Menteri Besar turut mengingatkan orang ramai berhati-hati memandangkan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Kata beliau juga projek tebatan banjir di Sungai Kedah diharap dapat siap segera untuk membantu mengatasi masalah banjir. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -