Warga emas hilang seminggu ditemui selamat

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Selepas seminggu seorang warga emas Ya’cob Ismail, 76, dari Tumpat hilang di kebunnya di Pasir Dusun, Jeli akhirnya dijumpai selamat semalam.

Warga emas terbabit merupakan pesara kerajaan lebih dikenali panggilan Pak Kob ditemui di sebuah bangsal di luar kawasan pencarian.

Kehilangannya disedari dua anaknya yang turut pergi ke kebun pada hari kejadian selepas bapa mereka tidak muncul sehingga petang.

Berikutan itu gerakan mencari Pak Kob dilakukan selepas laporan kehilangan 19 Mei lepas dibuat anaknya.

- Advertisement -

Misi pencarian digerakkan anggota Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk penduduk kampung.

Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, beliau bersyukur kerana Pak Kob akhirnya ditemui selepas seminggu hilang.

“Saya mendapat khabar gembira itu dari Inspektor Steve E yang mengetuai misi memcari dan menyelamat di lokasi kejadian.

“Pegawai polis terbabit memaklumkan mengenai penemuan Pak Kob,” katanya di sini.

Selepas ditemui Pak Kob dibawa ke Hospital Jeli untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut laporan media mangsa ditemui seorang penduduk yang menyertai operasi mencari dan menyelamat warga emas terbabit.

Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan terbaring dan sempat melambai-lambai tangan kepada penduduk berkenaan. – HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -